fbpx
Sabrina mempunyai ramai pengikut di media sosial kerana kepetahannya bertutur dalam loghat utara.

Gadis Tajikistan suka budu, fasih loghat utara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Bermula dengan perkataan ‘loqlaq’ yang da­ripada perbualan rakan-rakan ketika di sekolah, seorang gadis kelahiran Dushanbe, Tajikistan kini fasih bertutur dalam loghat utara sehingga menarik perhatian ramai.

Perkataan loqlaq bermaksud cemerkap atau kelam kabut.

Sabrina Abdulloeva, 23, berkata, loghat utara begitu istimewa kerana mudah dipelajari dan penuh dengan ekspresi.

“Saya tertarik selepas berpindah ke Nibong Tebal, Seberang Perai kira-kira 15 tahun lalu.

“Sebenarnya, saya tiada partalian darah dengan orang Malaysia kerana ibu dan ayah kandung berasal dari Tajikis­tan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Sabrina, setelah ibu bapanya berpisah, ibunya berkahwin dengan lelaki Pulau Pinang ketika di Tajikistan sebelum berhijrah ke Nibong Tebal pada 2007. Perkataan pertama dipelajari selepas berpindah ke negeri ini ialah ‘loqlaq’.

Menceritakan detik kali pertama menjejakkan kaki ke Pulau Pinang, Sabrina mengakui dia menerima kejutan terutama cuaca memandangkan Tajikistan ketika itu mengalami musim sejuk mencecah sehingga -10 darjah Celsius.

“Malaysia mempunyai rak­yat berbilang bangsa dan penduduknya menerima kehadiran kami dengan baik walaupun tidak pandai berbahasa Inggeris kerana kami bertutur dalam bahasa Tajik dan Rusia,” katanya.

Sabrina juga popular di media sosial apabila kepetahannya bercakap dalam loghat Pulau Pinang menarik perhatian ramai sehingga mempunyai lebih 23,200 pengikut di Instagram dan 216,400 pengikut d TikTok.

Penuntut ijazah Sarjana Muda Bioteknologi di Universiti Sains Malaysia itu berkata, dia juga tidak kekok menikmati pelbagai juadah masakan Melayu serta budu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN