KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan berhubung penyebaran kandungan berunsur fitnah dan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerusi sebuah akaun TikTok palsu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, siasatan dijalankan susulan pengesanan kandungan itu oleh Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office).
“Kita membuka kertas siasatan dan sedang menjalankan siasatan lanjut menerusi Unit Siasatan Jenayah Terkelas, JSJ Bukit Aman.
“Siasatan dijalankan di bawah Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan seseorang dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan,” katanya hari ini.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menyalahgunakan perkhidmatan atau kemudahan rangkaian.
Menurut Kumar, pihaknya memandang serius penyebaran kandungan menyentuh isu 3R melibatkan agama, kaum dan institusi diraja yang boleh menggugat ketenteraman awam.
“Pihak JSJ tidak akan sesekali berkompromi dalam perkara yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan sentiasa terpelihara,” ujarnya.
Semalam, Royal Press Office menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memaklumkan tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang menghasilkan akaun TikTok palsu menggunakan nama ‘Sultan Ibrahim Ismail’.
Katanya, akaun tersebut dipercayai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menyebarkan kandungan menghina Seri Paduka Baginda.
Royal Press Office turut menyifatkan perbuatan tersebut sebagai penghinaan serius dan berniat jahat terhadap institusi diraja selain berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat. – KOSMO! ONLINE














