fbpx

Elak haiwan peliharaan dapat kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAMA seperti manusia, haiwan peliharaan juga terdedah dengan penyakit kronik seperti kanser. –GAMBAR HIASAN

Oleh DR. SUJEY KUMAR RAJENDREN

HAIWAN peliharaan yang popular dalam kalangan manusia termasuklah kucing, anjing dan burung.

Terdapat juga segelintir masyarakat yang gemar menjadikan haiwan eksotik seperti ular dan iguana sebagai haiwan peliharaan.

Apa yang penting, setiap individu yang mempunyai haiwan peliharaan harus sedar akan tanggungjawab mereka dalam menjaga kebajikan haiwan terbabit seperti pemberian makanan yang mencukupi dari segi jumlah dan nutrisi, termasuklah pemeriksaan kesihatan berkala.

Seperti manusia, haiwan juga terdedah kepada pelbagai serangan penyakit termasuklah kanser.
Kanser yang juga dikenali sebagai barah adalah ketumbuhan sel tidak mengikut kadar normal.

Berbalik kepada haiwan peliharaan, haiwan yang mengalami kanser dapat dikesan pertumbuhan tumor sekiranya dilakukan pemeriksaan lebih awal.

Jangka hayat haiwan peliharaan yang pendek menyebabkan kanser boleh dikenal pasti dengan lebih cepat.
Pada awal tahun 1980, sekumpulan penyelidik di Philadelphia, Amerika Syarikat yang diketuai Lawrence T Glickman daripada Sekolah Perubatan Veterinar, Universiti Pennsylvania menyatakan, kehidupan manusia yang terdedah kepada asbestos menjurus kepada kanser paru-paru seawal 20 tahun selepas pendedahan.

Bagaimanapun anjing yang terdedah kepada asbestos menunjukkan pertumbuhan kanser dalam jangka masa sembilan tahun selepas pendedahan.

Beliau menyatakan lagi, perkara itu boleh diguna pakai untuk mengenal pasti kanser pada manusia jika terdapat penyakit itu pada haiwan.

Hasil dapatan kajian ini digunakan untuk mengenal pasti kesan dan kadar pendedahan asbestos berpanjangan terhadap manusia.

Kanser pada haiwan termasuklah kanser tulang, kanser payu dara (mammari), kanser prostat, kanser kulit dan sebagainya.

Doktor veterinar mengenal pasti pertumbuhan tumor pada haiwan ini dengan melakukan pemeriksaan sitologi.
Ia adalah pemeriksaan bentuk sel yang diambil daripada ketumbuhan.

Selain sitologi, doktor veterinar juga akan menjalankan kaedah biopsi.

Biopsi adalah pemeriksaan tisu kanser dan pemeriksaan ini bertujuan untuk memahami keadaan serta tahap teruk atau tidak sesuatu kanser tersebut.


PERTUMBUHAN kanser pada anjing yang terdedah kepada asbestos boleh berlaku dalam masa sembilan tahun sahaja. – GAMBAR HIASAN

Rawatan kanser pada haiwan peliharaan boleh dilakukan melalui kimoterapi atau pembedahan, mahupun kombinasi antara kedua-duanya.

Pada masa kini, kemajuan dalam bidang pembedahan memberi kelebihan kepada pakar-pakar haiwan untuk merawat haiwan peliharaan yang terkesan.

Namun begitu, terdapat beberapa amalan yang biasa dilakukan oleh pemilik haiwan peliharaan yang mungkin menyumbang kepada masalah kanser pada haiwan kesayangan mereka dan ia perlu dielakkan.

Sebagai contoh, pengembirian atau lebih dikenali sebagai kasi dalam kalangan masyarakat.
Pengembirian adalah adalah pembedahan yang dilakukan pada organ reproduktif haiwan untuk menghalang pembiakan.

Oleh itu, pemilik haiwan peliharaan perlulah mendapatkan nasihat daripada pakar-pakar kesihatan haiwan atau veterinar untuk mengetahui kesan pengembirian ini dengan lebih lanjut.

Kesihatan haiwan peliharaan sama penting seperti kesihatan pada manusia.

Haiwan tidak boleh bercakap untuk memberitahu kita mengenai masalah kesihatan yang dialami oleh mereka.

Oleh itu, kita perlulah peka dan bertanggungjawab dengan memberi penjagaan optimum kepada haiwan peliharaan.

Mencegah lebih baik daripada mengubati, maka pengesanan dan rawatan awal penting untuk memastikan haiwan peliharaan kita kekal sihat dan sejahtera.

Dalam pada itu, terdapat banyak rumah penjagaan haiwan terbiar yang memerlukan bantuan kewangan untuk tujuan penjagaan kesihatan haiwan tersebut.

Sebagai rakyat yang prihatin, kita boleh menyumbangkan bantuan untuk kesejahteraan sejagat.
——————————————————————————————————————————————–
DR. SUJEY KUMAR RAJENDREN ialah Pensyarah di Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI