fbpx

Scammer kebas RM33.7 juta dalam dua bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arjunaidi

SHAH ALAM – Mudah membuka akaun merupakan antara punca jenayah secara dalam talian dan siber mencatatkan kerugian mencecah RM33.7 juta dalam tempoh dua bulan tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, jenayah itu juga berlaku susulan mudah mendaftar nama individu menjadi keldai di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang kemudian membuka akaun bank atas nama syarikat atau perniagaan keldai tersebut.

Berdasarkan rekod, sebanyak 549 kertas siasatan jenayah komersial dibuka dalam tempoh sama di Selangor.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 405 kertas siasatan kes penipuan dalam talian dan jenayah siber direkodkan manakala 144 kes pula melibatkan jenayah bukan dalam talian.

“Kes-kes jenayah dalam talian dan siber menyumbang sebanyak 73.8 peratus dari jumlah keseluruhan kertas siasatan jenayah komersil yang dibuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata beliau, terdapat penjenayah siber yang berjaya menggodam emel dan sistem perbankan internet mangsa sehingga pengeluaran wang dari akaun berjaya dibuat tanpa pengetahuan mereka.

Ini termasuk kejadian yang berlaku pada 22 Februari lalu melibatkan seorang pegawai akaun yang membuat laporan polis mendakwa majikannya mengalami kerugian RM 2.9 juta.

“Kejadian berlaku apabila emel syarikat bagi urusan perbankan internet dalam talian telah digodam.

“Email tersebut dihantar ke pihak bank dan mengarahkan pihak itu membuat penukaran ID perbankan syarikat majikan pengadu,” ujarnya.

Tambah beliau, pihak bank kemudiannya meluluskan penukaran ID tersebut tanpa membuat pengesahan menyebabkan RM2.9 juta telah dikeluarkan dari akaun bank syarikat menerusi 59 transaksi ke dalam 18 akaun berbeza dipercayai akaun keldai.

Justeru, Arjunaidi meminta kerjasama pihak bank supaya mengambil langkah-langkah mempertingkatkan sistem keselamatan perbankan internet agar tidak dapat digodam oleh penjenayah siber.

“Pihak bank juga perlu mewujudkan satu sistem semak dan imbang yang lebih ketat bagi semua urusan perbankan internet atau e-banking.

“Ini bagi mengelak akaun keldai digunakan secara berleluasa oleh penjenayah untuk memindahkan wang hasil jenayah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI