fbpx

Matrix Concepts rekod jualan hartanah baharu lebih tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah satu projek yang dibangunkan oleh projek Matrix Concepts di Negeri Sembilan.

PETALING JAYA – Pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Bhd. (Matrix Concepts) merekodkan pertumbuhan 35.5 peratus jualan hartanah baharu kepada RM356.7 juta bagi suku ketiga tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Disember 2021.

Peningkatan itu disokong permintaan kukuh untuk projek pembangunan utamanya di Sendayan, Negeri Sembilan.

Secara kumulatif, untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2022, jualan hartanah Matrix Concepts me­ningkat 15.3 peratus untuk mencapai RM998 juta, bersamaan 83.2 peratus daripada sasaran jualan tahunannya pada RM1.2 bilion.

Kumpulan turut mengumumkan, dividen interim ketiga sebanyak 3.75 sen sesaham, iaitu 52.9 peratus daripada keuntu­ngan selepas cukai (PAT) seba­nyak RM59.1 juta bagi suku ketiga.

Mohamad Haslah (kiri) bersama Pengasas dan Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Lee Tian Hock.

Ditambah dengan dividen interim sebanyak dua sen dan tiga sen sebelum ini, jumlah pembayaran dividen untuk tempoh sembilan bulan pertama adalah RM73 juta, iaitu 52.1 peratus daripada PAT.

Pengerusinya, Datuk Moha­mad Haslah Mohamad Amin berkata, ketika berdepan cabaran besar sejak beberapa tahun ke­belakangan ini, pihaknya gembira untuk terus mencapai pertumbuhan yang baik, sekali gus memberi pulangan menarik buat pemegang saham.

“Kami sedang melihat tanda-tanda menggalakkan untuk kembali kepada normal, dengan kadar pertumbuhan dua angka dalam jualan hartanah baharu, manakala pendapatan kami telah kembali ke tahap sebelum pandemik.

“Menuju ke hadapan, kami optimis untuk melangkaui sasaran tahun penuh sebanyak RM1.2 bi­lion dan telah mempercepatkan kerja pembinaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan terakhir ditarik balik,” katanya dalam satu kenyataan.

Selari dengan pertumbuhan permintaan yang berterusan, Kumpulan merancang untuk melancarkan projek bernilai le­bih RM270 juta pada suku keempatnya yang berakhir pada 31 Mac ini, terutamanya daripada projek kediaman di Sendayan.

Kumpulan juga memiliki jualan belum dibil berjumlah RM1.3 bilion setakat 31 Disember lalu, yang bakal diterjemahkan kepada perolehan dalam tempoh 12 hingga 15 bulan akan datang.

“Dengan pandangan perolehan yang jelas dalam jangka masa sederhana, kami menyasarkan untuk menambah baik pembayaran dividen daripada 40 peratus daripada PAT sebelum ini untuk mencapai sehingga 50 peratus pada masa hadapan.

“Ini selari dengan komitmen kami untuk menyampaikan nilai yang lebih baik buat pemegang saham,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI