fbpx

Industri jagung tentukan harga pasaran ternakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAGI Mengurangkan pergantungan daripada pasaran global, Malaysia merancang untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keperluan jagung bijirin menjelang 2032.– GAMBAR HIASAN

Oleh DATUK MOHD AL KHAFIZ ZAINAL

JAGUNG merupakan salah satu komoditi utama yang menyokong pembangunan industri ternakan di Malaysia.

Bagaimanapun, jagung adalah industri kecil dan pengeluaran tempatan tidak dapat memenuhi permintaan pengilang.

Akibatnya, Malaysia terpaksa bergantung kepada bekalan jagung daripada pasaran global.
Situasi ini mendorong negara untuk menggiatkan semula industri jagung bagi mengurangkan pergantungan kepada hasil import.

Untuk itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melancarkan inisiatif baharu tanaman jagung bijirin pada Januari lalu.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyahut usaha ini dan menyatakan minat untuk bekerjasama dengan menggalakkan koperasi-koperasi melibatkan diri secara serius pada 14 Februari lalu.

Perkembangan ini turut menarik minat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad untuk membangunkan tanaman jagung bijirin di kawasan berkeluasan 4,000 hektar di seluruh negara, sekali gus mengulangi kenyataan yang pernah dibuat sebelum Covid-19.

Beberapa syarikat swasta termasuk Fomax International Sdn. Bhd., dan Depena Corn Sdn. Bhd., turut memberikan komitmen sejak beberapa hari lalu.

Selain itu, Malaysia turut mengkaji daya saing industri jagung Indonesia dan bersedia untuk meniru dasar serta strategi yang boleh diguna pakai.

Lawatan sambil belajar ke Indonesia dibuat sepasukan pegawai bagi memahami senario industri pada 2018.

Tiga faktor boleh dipelajari daripada Indonesia adalah dasar mesra petani komprehensif, pembangunan benih hibrid boleh meningkatkan produktiviti dan kualiti jagung serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan jagung, selain kemajuan pemindahan teknologi dari makmal kepada petani.

Nilai jagung bijirin import meningkat setiap tahun dan mempengaruhi imbangan perdagangan.

Malaysia mengimport lebih RM46.74 (AS$11.32) bilion produk makanan dan makanan haiwan menyumbang kira-kira 14.7 peratus daripada nilai itu pada 2017.

Kuantiti dan nilai import meningkat setiap tahun berikutan peningkatan dalam pengeluaran makanan haiwan dan susut nilai Ringgit Malaysia.


NEGARA menghasilkan lebih 5.5 juta ayam pedaging dan merupakan pengeksport bersih ayam pedaging dan telur sejak tahun 2000.– GAMBAR HIASAN

Sebagai contoh, import meningkat daripada 1.37 juta tan pada tahun 1990 kepada 2.59 juta tan (2000) dan 4.10 juta tan (2020) dengan kadar pertumbuhan sekitar 8.1 peratus.

Pada masa sama, kejatuhan nilai ringgit meningkatkan nilai import.

Sebagai contoh, nilai ringgit menyusut daripada RM2.12 bagi AS$1 pada tahun 1980 kepada RM4.10 (2021).

Akibatnya, Malaysia terpaksa membayar lebih untuk satu unit kilogram jagung bijirin.

Dalam pada itu, 46.56 peratus jagung digunakan untuk makanan ayam pedaging, 27.58 peratus (makanan lapisan) dan 25.86 peratus (makanan babi).

Walaupun industri ternakan bergantung sepenuhnya kepada jagung bijirin import, Malaysia merupakan pengeksport bersih ayam pedaging dan telur sejak tahun 2000.

Negara menghasilkan lebih 5.5 juta ayam pedaging, 334,000 lapisan dan 1.47 juta ekor babi setiap tahun.

Kerajaan yakin pembangunan industri jagung bijirin adalah penting dan kritikal untuk kelangsungan industri ternakan.

Bagaimanapun, banyak halangan perlu ditangani sebelum projek itu dapat dilaksanakan seperti mengenal pasti beberapa kawasan yang sesuai untuk penanaman.

Cuaca lembap boleh menjejaskan kualiti jagung dan kos pengeluaran lebih tinggi tidak menarik minat pelabur.

Pada masa sama, benih yang dibekalkan oleh pihak swasta hanya mampu mengeluarkan antara tiga hingga enam tan sehektar.

Plot eksperimen yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menghasilkan keputusan lebih baik antara lima dan enam tan sehektar.

Malaysia merancang untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keperluan jagung bijirin menjelang 2032.

MAFI pula merancang untuk membuka kawasan tanah baharu khusus untuk pengeluaran jagung bijirin.
Ini boleh dilakukan dengan menambah keluasan tanah kepada sekitar 30,000 hektar.

Ini akan menghasilkan pengeluaran sekitar 1.4 juta tan jagung bijirin.

Pengeluaran jagung bijirin akan dijalankan di kawasan yang mempunyai musim kemarau yang panjang, kelembapan rendah dan tanah rata seperti di Chuping di Perlis, Seberang Prai (Pulau Pinang) serta Bachok (Kelantan).

Ia telah dimulakan pada tahun 2020 sebagai projek perintis.

Kerajaan akan mempergiatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang boleh menjana benih hibrid lebih baik yang ‘bertolak ansur’ kepada perosak dan penyakit serta berpotensi menghasilkan hasil lebih tinggi.

MARDI pula menjalankan penyelidikan mengenai teknologi benih, penanaman, pengeluaran, pemprosesan serta mekanisasi dan automasi.

MARDI juga akan bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Bijirin Indonesia (ICERI) dalam pembangunan teknologi baharu berkaitan jagung.
——————————————————————————————————————————————————-
DATUK MOHD AL KHAFIZ ZAINAL ialah Pengerusi Eksekutif Makmur Group Berhad yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Teknikal Malaysia Melaka Holdings, sedang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dalam bidang Pengurusan Keselamatan & Jaminan Makanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI