POPULASI harimau Malaya dalam hutan di negara ini pada masa sekarang semakin berkurangan, dianggarkan berjumlah kurang daripada 150 ekor sahaja.
Keadaan ini amat membimbangkan semua pihak dan sekiranya tiada langkah drastik diambil pihak terbabit, dikhuatiri haiwan yang menjadi lambang jata negara itu tidak mustahil akan pupus.
Minggu ini, kolum Wawancara Kosmo! Ahad mengundang Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim yang membincangkan topik berkaitan survival harimau Malaya di negara ini.
Menurut beliau, penyebab utama populasi harimau belang di negara ini adalah aktiviti pemburuan haram, selain disebabkan kehilangan habitat akibat perubahan guna tanah.
Perubahan guna tanah ini telah memberikan kesan ke atas hidupan liar yang menjadi sumber makanan utama harimau seperti rusa, kijang dan babi hutan.
—————————————————————————————————————————————————–
HARIMAU Malaya atau nama saintifiknya Panthera tigris merupakan salah satu haiwan pemangsa yang terdapat dalam hutan khatulistiwa terutamanya di Semenanjung Malaysia.
Menariknya, harimau Malaya telah disahkan sebagai subspesies berasingan daripada subspesies harimau Indochina melalui satu ujian genetik pada 2004.
Sebagai haiwan yang gagah, harimau Malaya banyak digunakan dalam lambang negara termasuk Jata Negara.
Ia juga digunakan pada institusi lain seperti Persatuan Sepak Malaysia, Maybank dan Proton.
Malah, pasukan bola sepak Malaysia telah menggunakan Harimau Malaya sebagai maskot dan gelaran kepada skuad tersebut. Malangnya, populasi harimau Malaya semakin berkurangan pada masa ini.
Fenomena tersebut berlaku disebabkan banyak faktor sekeliling seperti aktiviti pemburuan haram, habitat semakin mengecil, selain sumber makanannya semakin terhad.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Parlimen baru-baru ini mendakwa, spesies Harimau Malaya dijangka pupus dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi.
Jelas beliau, kepupusan Harimau Malaya akan berlaku sekiranya tiada tindakan drastik diambil segera oleh pihak kerajaan.
Bagi mengulas isu itu , wartawan Kosmo! Ahad, MOHD. SHAZWAN YUSOP berkesempatan mewawancara Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Jumlah Harimau Malaya di hutan negara kini dikatakan berjumlah kurang daripada 150 ekor. Sejauh mana kebenaran dakwaan ini dan langkah-langkah diambil bagi memastikan ‘Pak Belang’ tidak pupus?
Abdul Kadir: Ya betul, populasi harimau Malaya dalam kawasan hutan di negara ini berjumlah kurang daripada 150 ekor. Dapatan ini diperoleh hasil kajian dilakukan National Tiger Survey (NTS) yang dari 2016 hingga 2020.
Kajian ini dilakukan dengan meletakkan kamera pengesan di beberapa kawasan hutan dikenal pasti menjadi laluan harimau.
Justeru, pihak kerajaan telah merangka tindakan strategik mengenai krisis populasi harimau Malaya berdasarkan tiga pendekatan.
Usaha tersebut adalah dengan menghentikan penurunan populasi, meningkatkan tadbir urus baik dan keberkesanan konservasi serta memperkasakan inisiatif bagi kelangsungan hidup harimau Malaya.
Kerajaan juga menubuhkan National Tiger Conservation Task Force (MyTTF) yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memantau pelaksanaan tindakan strategik dijalankan.
Apakah faktor yang menyebabkan harimau hampir pupus di negara ini? Adakah disebabkan pertembungan dengan manusia atau kekurangan sumber makanan di habitat semula jadinya?
Salah satu punca yang dikenal pasti menjadi penyebab pengurangan jumlah harimau di Malaysia adalah kehilangan habitat akibat perubahan guna tanah.
Perubahan guna tanah ini telah memberikan kesan ke atas hidupan liar lain yang menjadi sumber makanan utama harimau seperti rusa, kijang dan babi hutan.
Hal ini kerana, keperluan asas hidupan liar seperti harimau adalah habitat sebagai tempat pencarian makanan dan berlindung, selain peluang pembiakan secara semula jadi.

Sejauh mana aktiviti pemburuan haram memberi kesan kepada populasi harimau di negara ini dan apakah langkah-langkah yang diambil untuk mengekang aktiviti berkenaan?
Pemburuan haram merupakan penyebab utama populasi harimau semakin berkurangan.
Bahkan, pemburuan haram amat besar implikasinya kerana penjenayah khazanah alam itu turut memasang jerat dawai dalam hutan.
Jerat boleh mendatangkan kecederaan parah dan kematian kepada harimau serta hidupan liar lain yang menjadi sumber makanannya.
Menerusi Operasi Bersepadu Khazanah, kami bersama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Perbadanan Taman Negeri Perak, Perbadanan Taman Negara Johor dan Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu bergabung tenaga membuat aktiviti pencegahan dan penguatkuasaan.
Sepanjang tahun lalu sahaja, sebanyak 12 siri operasi dilaksanakan dengan 75 kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan dan jenayah hidupan liar melibatkan 133 individu. Sebanyak 12 daripadanya adalah warganegara asing.
Kami juga berjaya memusnahkan 303 jerat dawai dan 59 tapak perkhemahan yang dibuat oleh pemburu haram.
Pada pemerhatian Perhilitan, adakah aktiviti pemburuan haram semakin berleluasa ketika ini dan adakah undang-undang sedia ada tidak cukup untuk mengekangnya?
Untuk makluman, aktiviti pemburuan haram ini berlaku disebabkan permintaan masyarakat terhadap hidupan liar sama ada dijadikan makanan, perubatan atau hiasan. Sekiranya permintaan tiada, ia dapat membantu mengurangkan aktiviti pemburuan haram ini.
Sebenarnya, undang-undang yang ada iaitu Akta Pemuliharaan Hidupan Liar [Akta 716] telah diluluskan pindaannya di Parlimen.
Antara penambahbaikan utama dalam akta ini adalah peningkatan denda dari RM500,000 kepada RM1 juta dan tempoh hukuman penjara dinaikkan dari 10 kepada 15 tahun.
Apabila pindaan ini dikuatkuasakan kelak, kami harap ia dapat meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan penyiasatan serta pendakwaan.
Baru-baru ini, tular video di media sosial tentang seekor harimau belang berkeliaran di kawasan semak berhampiran Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands. Adakah haiwan pemangsa itu sudah terdesak mencari makanan berhampiran penempatan manusia?
Berdasarkan siasatan yang dijalankan di lapangan oleh Perhilitan, aduan itu adalah benar.
Apabila berlaku perubahan guna tanah, ia akan mewujudkan rantaian implikasi lain seperti pengecilan habitat semula jadi dan pengurangan sumber makanan.
Justeru, potensi untuk harimau keluar ke kawasan didiami manusia menjadi lebih tinggi.
Ini juga akan menimbulkan risiko untuk konflik antara manusia dan harimau.
Hasil kajian kami, jika semua keperluan cukup, harimau tidak akan keluar dari habitatnya.

Harimau yang dikatakan membaham lelaki Orang Asli di Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan telah ditembak mati pada Januari lalu. Adakah ia merupakan tindakan yang betul memandangkan populasinya semakin terancam?
Mungkin ramai tertanya-tanya sebab Jabatan Perhilitan tidak menggunakan dart pelali atau tembak halau terhadap harimau terbabit.
Sebenarnya, kami berjaya menjejaki harimau itu dalam keadaan genting selepas membaham manusia.
Biasanya, pada ketika itu harimau dalam keadaan mempertahankan mayat mangsa dengan menganggapnya sebagai makanan.
Ia akan menyerang orang yang cuba mengambil mayat mangsa atau menangkapnya.
Sekiranya menggunakan dart pelali, harimau hanya pengsan dalam tempoh tertentu (biasanya selepas 15 minit).
Dalam tempoh itu, harimau berkemungkinan menerkam manusia atau masuk ke hutan semula.
Justeru, kami mengambil tindakan tembak mati setelah mengambil kira situasi semasa seperti diperuntukkan Seksyen 52(a), Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].
Menerusi akta itu, kami dibenarkan menembak hidupan liar yang boleh mengancam nyawa manusia.
Apakah kaedah boleh diambil bagi menjamin keselamatan komuniti yang tinggal berdekatan hutan dan pada masa sama, meningkatkan usaha pemuliharaan harimau Malaya?
Perhilitian merupakan agensi yang bertanggungjawab dalam pengurusan konservasi dan rezab hidupan liar serta taman negara di Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun, kami sentiasa membantu dalam aspek keselamatan masyarakat yang tinggal di dalam atau pinggiran habitat hidupan liar.
Pengalaman kami dalam mengurus rezab hidupan liar dan taman negara digunakan untuk membantu mengawal keselamatan komuniti berkenaan.
Misalnya di Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan, Jabatan Perhilitan terlibat dalam menjaga keselamatan Orang Asli, masyarakat setempat serta guru di sekolah berhampiran.
Alhamdulillah, polis melalui Pasukan Gerakan Am banyak membantu melicinkan tugas seharian. Agensi lain seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli turut membantu.

Selain harimau Malaya, apakah populasi haiwan liar lain dikategorikan sebagai terancam di negara ini?
Kategori hidupan liar terancam merujuk kepada haiwan yang bilangannya semakin berkurangan dan menghadapai bahaya kepupusan dalam masa terdekat, sekiranya trend yang ada sekarang berterusan.
Definisi terancam mengikut Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam pula adalah hidupan liar dibahagikan mengikut kategori, vulnerable, endangered dan critically endangered yang menghadapi bahaya kepupusan.
Selain harimau Malaya, spesies lain yang terancam termasuk seladang (Bos gaurus), tapir (Tapirus indicus), rusa (Rusa unicolor), harimau kumbang (Panthera pardus), harimau dahan (Neofelis nebulosa), julung-julung (Tomistoma schlegelii) dan enggang tebang mentua (Rhynoplax vigil).














