Kini, nama Mandalika tidak hanya dikenali penduduk Indonesia, malah menjadi sebutan di seluruh dunia terutamanya dalam kalangan peminat dunia permotoran.
Ia ekoran pembukaan Litar Mandalika pada November tahun lalu yang bakal menjadi gelanggang buat pelumba motosikal terbaik dunia berentap.
Presiden Indonesia, Joko Widodo menyifatkan, litar sepanjang 4.32 kilometer (km) itu sebagai lambang kebanggaan masyarakat di negara itu.
Nama Mandalika diambil sempena nama puteri cantik, Puteri Mandalika. Bulan ini, suku kaum Sasak yang mendiami Pulau Lombok, Indonesia bakal meraikan pesta atau upacara tradisi dikenali sebagai Bau Nyale atau memburu cacing laut.
Pesta tahunan itu dikatakan berkait rapat dengan mitos popular dalam kalangan masyarakat setempat, kisah puteri cantik bernama Puteri Mandalika.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
BULAN ini, suku kaum Sasak yang mendiami Pulau Lombok, Indonesia bakal meraikan pesta atau upacara tradisi dikenali sebagai Bau Nyale atau memburu cacing laut.
Pesta tahunan itu dikatakan berkait rapat dengan mitos popular dalam kalangan masyarakat setempat, kisah puteri cantik bernama Puteri Mandalika.
Selain rupa paras jelita, puteri berkenaan juga dikatakan mempunyai budi pekerti mulia sehingga membuatkannya menjadi kegilaan ramai pembesar pada ketika itu.
Bagi menjaga hati semua pembesar yang menaruh harapan kepadanya, Puteri Mandalika mengambil keputusan untuk terjun ke laut dan mayatnya tidak ditemui.
Setelah beberapa hari, datanglah sekumpulan cacing berwarna-warni di kawasan pantai Lombok dipercayai jelmaan Puteri Mandalika oleh masyarakat tempatan.
Bagi memperingati peristiwa tersebut, penduduk di situ menamakan kawasan pantai seluas 20.035 hektar terletak di Kuta, Lombok Tengah sebagai Mandalika.

Kini, nama Mandalika tidak hanya dikenali penduduk Indonesia, malah menjadi sebutan di seluruh dunia terutamanya dalam kalangan peminat dunia permotoran.
Ia ekoran pembukaan Litar Mandalika pada November tahun lalu yang bakal menjadi gelanggang buat pelumba motosikal terbaik dunia berentap.
Presiden Indonesia, Joko Widodo menyifatkan, litar sepanjang 4.32 kilometer (km) itu sebagai lambang kebanggaan masyarakat di negara itu.
“Litar Mandalika telah bersedia sepenuhnya untuk menjadi gelanggang penganjuran acara-acara permotoran berkelas dunia di Indonesia.
“Litar ini akan digunakan bagi penganjuran Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2021 dan gelanggang pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada Mac depan,” katanya sewaktu majlis perasmian Litar Mandalika pada November tahun lalu.
Sebelum itu, Jokowi sempat mengelilingi litar yang dianggarkan bernilai AS$500 juta (RM2.1 billion) dengan menunggang motosikal klasik miliknya.
Dibina di kawasan seluas 105.4 hektar, Mandalika dilengkapi litar jalan jenis stone mastik asphalt yang lebih kasar bagi meningkatkan cengkaman tayar.
Kawasan tersebut turut dikelilingi 11 hotel dengan jumlah gabungan bilik sekitar 1,900 buah, bangunan konvensyen, tapak pameran, hospital dan pusat beli-belah.
Ia juga mempunyai kemudahan 40 garaj, 50,000 tempat duduk grandstand, kawasan penonton 138,000 dan suite hospitaliti yang mampu menampung kapasiti sehingga 7,700 orang.

Pihak Perbadanan Pembangunan Pelancongan Indonesia (ITDC) mengumumkan, kemudahan tersebut hanya bersifat sementara dan bukan berbentuk tetap.
“Memandangkan ia litar jalanan, kemudahan di sini hanya sementara. Ia akan diwujudkan hanya untuk perlumbaan, selepas itu akan dibuka semula bagi kegunaan masyarakat,” ujar kenyataan media ITDC.
Pemerintah Indonesia turut membelanjakan AS$18 juta (RM75.5 juta) bagi membangunkan infrastruktur asas termasuk jalan bagi menghubungkan Litar Mandalika dengan Lapangan Terbang Antarbangsa Lombok.
Dengan adanya segala kemudahan itu, tidak hairanlah sekiranya Litar Mandalika dimasukkan dalam kalender MotoGP 2022 oleh Dorna Sports selaku pemegang hak komersial.
Wakil Dorna Sport, Manel Arroyo memaklumkan, Mandalika sangat penting buat kejohanan tersebut memandangkan jumlah peminatnya yang ramai di Indonesia.
“Di Indonesia, MotoGP adalah sukan kedua paling ramai diikuti. Di sini, MotoGP disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen dan semua stesen ingin membeli hak penyiarannya,” tegasnya.
Pada 11 hingga 13 Februari lalu, semua pasukan MotoGP berpeluang melakukan ujian pramusim di Litar Mandalika bagi menguji jentera sebagai persediaan menghadapi musim baharu.
Salah seorang penunggang pasukan Repsol Honda, Pol Espargaro menyifatkan Mandalika sebagai sebuah litar yang mempunyai perwatakan sendiri, namun agak kotor.
Sebagai sebuah litar baharu, permukaan litar yang kotor merupakan perkara normal memandangkan kawasan sekitarnya masih dalam proses pembangunan.
“Satu-satunya masalah di sini, ia sangat kotor. Kami perlu membuat pusingan bebas bagi membersihkan racing line menggunakan tayar.
“Tetapi secara keseluruhan, litar ini sangat bagus. Ia mempunyai kombinasi selekoh laju, perlahan dan jalan lurus panjang. Ia berbeza dengan litar-litar lain di dunia,” ujarnya.
Menariknya, Litar Mandalika juga dikatakan mempunyai pemandangan sekitar paling indah memandangkan lokasinya terletak bersebelahan Lautan Hindi.

Ia juga terletak berhampiran kawasan pantai yang popular dalam kalangan pelancong seperti Tanjung Aan, Kuta Gerupuk, Serenting dan Pantai Seger.
Tambah menarik, Litar Mandalika terletak di kawasan tanah rendah mempunyai pantai berpasir putih yang panjang dan rata dengan ombak baik untuk sukan meluncur.
Walaupun tidak banyak tumbuh-tumbuhan di kawasan itu, namun terdapat paya bakau yang melindungi pantai daripada hakisan ombak.
Ketua Keselamatan Litar, Dyan Dilato berkata, pihak Dorna Sport menyifatkan pemandangan di Litar Mandalika cukup mengujakan terutamanya ketika matahari terbenam.
“Tempat yang luar biasa. Mandalika merupakan litar tercantik di dunia,” menurut ciapan yang dimuat dalam laman Twitter rasmi MotoGP pada hujung minggu lalu.
Tarikan tersebut diharap mampu menjadi daya penarik kepada pelancong ke Pulau Lombok, sekali gus mampu membantu meningkatkan ekonomi dan pendapatan penduduk setempat.
Menteri Rekreasi dan Ekonomi Kreatif, Sandiaga Salahuddin Uno berkata, penganjuran MotoGP di Mandalika mampu menjana ekonomi bernilai RM50 juta.
Tegasnya, sepanjang perlumbaan MotoGP berlangsung Mac ini, sebanyak 11,000 tenaga kerja akan digunakan dan 50,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan dalam jangka panjang.
Menerusi penganjuran acara-acara besar di litar itu selepas ini, Lombok dijangka menerima kira-kira dua juta pelancong asing setiap tahun.
Seorang pemandu teksi tempatan, Rama Saputra berkata, penganjuran kejohanan besar di Litar Mandalika membantu meningkatkan pendapatannya.
Ujarnya, sewaktu penganjuran WSBK akhir tahun lalu, pendapatan pemandu teksi di Lombok meningkat sebanyak 30 peratus berbanding kebiasaannya.
“Kami dapat ramai penumpang terutamanya pelancong luar.
“Kalau hari biasa tanpa acara, gaji saya sekitar Rp75,000 (RM22) hingga Rp100,000 (RM30).
“Sepanjang WSBK berlangsung, ia boleh mencecah Rp150,000 (RM44) sehari, namun tergantung kepada jenis kenderaan digunakan,” ujarnya kepada sebuah portal tempatan.















