fbpx

Keberkesanan dos penggalak merosot dengan ketara pada bulan keempat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG wanita menerima suntikan dos penggalak Pfizer di Bandar Raya Mexico pada 9 Februari lalu. - AFP

WASHINGTON – Keberkesanan dos ketiga atau penggalak vaksin jenis mRNA Pfizer dan Moderna merosot dengan ketara menjelang bulan keempat pelalian, demikian menurut kajian baharu oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) kelmarin.

Walaupun sudah diketahui bahawa keberkesanan vaksin menurun selepas dua dos, namun tidak banyak kajian yang diterbitkan mengenai tempoh perlindungan dos penggalak.

Kajian baharu itu dibuat berdasarkan lebih 241,204 kunjungan ke jabatan kecemasan atau klinik  dan 93,408 kes kemasukan ke hospital yang lebih serius dalam kalangan orang dewasa yang menghidap Covid-19 antara  26 Ogos 2021 hingga 22 Januari 2022.

Keberkesanan vaksin pula diputuskan dengan membandingkan kebarangkalian keputusan positif  ujian Covid-19 antara pesakit yang divaksinasi dan tidak divaksinasi serta kaedah statistik untuk faktor kawalan  seperti umur, tahap penularan tempatan dan ciri pesakit seperti komorbiditi.

Semasa tempoh yang didominasi varian Omicron, keberkesanan vaksin dalam mencegah kunjungan ke jabatan kecemasan berkaitan Covid-19 atau klinik adalah 87 peratus dalam tempoh dua bulan selepas dos ketiga tetapi turun kepada 66 peratus menjelang bulan keempat.

Keberkesanan vaksin dalam mencegah kemasukan ke hospital adalah 91 peratus dalam dua bulan pertama, tetapi merosot kepada 78 peratus menjelang bulan keempat selepas dos ketiga.

“Penemuan bahawa perlindungan yang diberikan oleh vaksin mRNA berkurangan pada bulan-bulan seterusnya selepas penerimaan dos ketiga mengukuhkan kepentingan pertimbangan selanjutnya mengenai keperluan dos tambahan lain untuk mengekalkan atau meningkatkan tahap perlindungan,” demikian menurut kesimpulan tersebut.

Bercakap pada taklimat Covid-19 di White House  Rabu lepas, penasihat perubatan tertinggi Presiden Joe Biden,  Anthony Fauci berkata,  kemungkinan dos keempat diperlukan untuk meningkatkan  tindak balas imunisasi kepada golongan  yang lebih lemah, seperti orang tua dan mereka yang mengalami kurang daya tahan penyakit. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI