fbpx

PRN Johor: KPM tak benarkan sekolah menengah jadi pusat mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi Jidin berucap ketika menghadiri Sesi Libat Urus Bersama Warga Pendidik dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kota Iskandar di Hotel Trove Johor Bahru hari ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak benarkan sekolah menengah di negeri ini dijadikan sebagai pusat mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana tarikh pengundian pada 12 Mac bercanggah dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan perkara tersebut dalam waktu terdekat.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak mempunyai halangan sekiranya premis sekolah rendah diguna pakai sebagai pusat pengundian dalam PRN Johor.

“Saya dapat maklumat semalam bahawa sekolah menengah di negeri ini mungkin akan digunakan sebagai pusat mengundi PRN Johor akan datang.

“Tetapi kementerian masih belum terima permohonan secara rasmi daripada SPR dan kita juga sudah membuat ketetapan bahawa kita tidak mahu sekolah menengah digunakan sebagai pusat mengundi.

“Ini bagi memastikan bukan sahaja guru-guru dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada peperiksaan SPM, tetapi lebih utama adalah terhadap pelajar yang akan menduduki peperiksaan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas menghadiri Sesi Libat Urus Bersama Warga Pendidik dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kota Iskandar di Hotel Trove di sini hari ini.

Tambahnya, pihaknya juga telah menerima banyak rungutan berhubung perkara itu khususnya daripada guru-guru dan ibu bapa yang mempunyai anak didik bakal menduduki SPM pada bulan Mac ini.

“Walaubagaimanapun, KPM tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya premis sekolah rendah hendak digunakan sebagai pusat mengundi dalam PRN Johor ini.

“Ini kerana sekiranya premis sekolah menengah dijadikan pusat mengundi, ia akan melibatkan pelbagai proses seperti perubahan susunan meja dan pemasangan pelbagai peralatan bersesuaian yang akan menganggu kelancaran SPM.

Tambahnya, peperiksaan bertulis SPM 2021 akan dijalankan bermula pada 3 Mac sehingga 29 Mac ini manakala PRN Johor telah ditetapkan pada 12 Mac dengan pengundian awal akan dibuat pada 8 Mac.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI