fbpx

Bayi lima bulan maut, empat cedera kereta terbabas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan maut di Kilometer 33 Jalan Jerantut-Temerloh di Temerloh malam tadi.

TEMERLOH – Seorang bayi berusia lima bulan maut manakala empat lagi ahli keluarga termasuk ibu dan bapanya mengalami kecederaan selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 33 Jalan Jerantut-Temerloh, di sini malam tadi.

Difahamkan semasa kejadian, mangsa Miszara Amira Jaffery dipangku ibunya yang duduk di tempat duduk penumpang bahagian hadapan kereta jenis Proton Saga yang dipandu bapa mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama ibu bapa serta dua lagi adik beradiknya dalam perjalanan dari arah Jerantut menghala Temerloh.

“Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai pemandu kereta gagal mengawal kenderaan menyebabkan kereta jenis Proton Saga berkenaan hilang kawalan dan melanggar besi penghadang yang berada di tengah jalan.

“Akibat rempuhan itu, seorang bayi meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan tiga lagi penumpang kereta mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

Katanya, pemandu kereta patah kaki kiri dan cedera pada bahagian muka serta dada manakala penumpang hadapan cedera di dalam perut dan dua kanak-kanak berusia enam dan lima tahun mengalami kecederaan pada dahi dan retak kaki kanan.

Dalam pada itu, beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih giat dilakukan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI