MEKAH – Hasrat seorang pesara untuk menjadi tetamu Allah hanya tercapai selepas lebih dua dekad gara-gara dia tersilap menyangka simpanan di Tabung Haji (TH) secara automatik melayakkannya untuk menunaikan Rukun Islam kelima.
Mohd. Daud Hamdan, 72, berkata, dia mula menabung di TH sejak akhir 1970-an ketika berkhidmat dalam sektor awam selepas melalui kehidupan sukar bekerja di kilang.
Katanya, walaupun hanya mampu menyimpan RM30 sebulan, namun tetap istiqamah kerana mahu menjejakkan kaki ke Tanah Suci suatu hari nanti.
“Pak cik ingat bila ada akaun dan simpanan dalam Tabung Haji, secara automatik nama akan masuk (tersenarai) untuk giliran haji. Rupa-rupanya kena daftar berasingan.
“Bila anak semak, saya terkejut sebab nama tiada dalam senarai menunggu (haji). Pada tahun 2005 baru saya mendaftar haji,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Katanya, kesedaran mengenai keperluan mendaftar haji muncul selepas mendengar pesanan seorang guru agama ketika bertugas di Sabah.
“Dalam khutbah, ustaz itu beritahu jangan simpan sahaja (TH) tetapi kena daftar. Selepas itu saya segera mendaftar. Selepas lebih 20 tahun menunggu, alhamdulillah tahun ini Allah jemput juga,” katanya.
Menurut Mohd. Daud, walaupun sudah berusia 72 tahun, dia bersyukur masih diberikan kesihatan yang baik untuk menunaikan haji bersama puluhan ribu jemaah lain dari Malaysia.
“Usia sudah lanjut, kita tidak tahu bila Allah akan tarik nyawa, jadi apabila mendapat peluang ini memang sangat bersyukur,” katanya.
Bapa empat anak itu berharap pengalamannya dapat dijadikan pengajaran terutama kepada golongan muda supaya membuat pendaftaran haji lebih awal.
“Jangan sangka simpan duit sahaja sudah cukup. Kalau lambat daftar, memang kena tunggu lama sebab giliran sekarang panjang,” katanya. – KOSMO! ONLINE














