fbpx

KDNKA rekod jumlah rampasan RM610.1 juta tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hazani.

PETALING JAYA – Sebanyak 8,234 kes jenayah melibatkan penyeludupan, migran dan khazanah negara dengan nilai rampasan berjumlah RM610.1 juta telah direkodkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA) sepanjang tahun lalu.

Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, ia merupakan kejayaan besar KDNKA dalam memastikan ketenteraman awam dan keselamatan awam sentiasa dilindungi dan terus terpelihara.

“Sepanjang tahun 2021, beberapa kejayaan besar telah dilakar Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya KDNKA yang mempamerkan prestasi membanggakan.

“KDNKA telah merekodkan kejayaan dengan jumlah keseluruhan sebanyak 8,234 kes, melibatkan tangkapan seramai 7,159 individu dengan nilai rampasan sebanyak RM610.1 juta yang meliputi pelbagai jenis kesalahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, aktiviti jenayah seperti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan barang kontraban adalah berbeza mengikut zon persempadanan.

“Di utara semenanjung, barangan yang kerap diseludup adalah daun ketum, minuman keras, ubat batuk, dadah dan kemasukan PATI manakala di timur semenanjung, barangan seperti beras, minyak masak, petrol dan binatang ternakan.

“Zon tengah dan selatan semenanjung pula melibatkan rokok, minuman keras, dadah, hidupan liar dan kemasukan PATI manakala di Sabah dan Sarawak dilakukan melalui ‘lorong tikus’ dengan menyeludup rokok, minuman keras, kayu balak atau bakau dan hidupan liar,” jelasnya.

Tambahnya, berdasarkan statistik tangkapan PATI, terdapat kalangan individu yang ditangkap mempunyai peranan masing-masing dalam sesuatu kes penyeludupan migran seperti ejen, tekong darat, tekong laut, penjaga rumah atau pengangkut(transporter).

“KDNKA sentiasa bersiap sedia dan komited dalam memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara sentiasa dilindungi serta terus terpelihara.

“PDRM juga memohon kerjasama masyarakat untuk turut bersama-sama menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI