fbpx

Suarez bakal sertai Gerrard, Coutinho

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUAREZ dikatakan berminat untuk kembali ke England dengan menyertai Villa. – AFP

MADRID – Penyerang sensasi Atletico Madrid, Luis Suarez tidak menolak kemungkinan untuk membuat reunion dengan pengurus Aston Villa, Steven Gerrard dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Berdasarkan laporan media-media Sepanyol, Gerrard dikatakan sedang memujuk penyerang berusia 34 tahun itu selepas beliau berjaya meyakinkan seorang lagi bekas rakan sepasukannya ketika di Liverpool, Philippe Coutinho kembali ke England.

Keputusan itu membuahkan hasil lumayan apabila Coutinho tidak menunggu lama untuk mempamerkan taringnya apabila meledak satu gol ketika turun membuat debut bersama Villa menentang Manchester United minggu lepas.

Sehubungan itu, Gerrard, 41, merasakan bulan ini adalah langkah terbaik untuk Atletico Madrid menjual Suarez jika tidak mahu kehilangan bintang Uruguay itu secara percuma apabila kontrak­nya tamat penghujung musim ini.

Bagaimanapun, ketua jurulatih Atletico, Diego Simeone bertegas tidak mahu melepaskan Suarez yang masih berada dalam perancangannya walaupun gagal menjaringkan gol dalam 11 perlawanan terakhir.

“Kami sudah dua bulan berbincang mengenai perkara ini. Saya juga sudah beritahu Luis (Suarez) mengenai pandangan saya terhadapnya, bagaimana pentingnya dia bersama pasukan dan situasi yang dihadapi ketika ini,” kata Simeone.

Kini segala keputusan di tangan Simeone dan Atletico sama ada memberikan ‘lampu hijau’ kepada Suarez untuk kembali bergandingan dengan Gerrard yang pernah beraksi bersama di Anfield dari 2011 hingga 2014.

Difahamkan, Suarez yang pernah menjadi rakan sepasukan Coutinho di Liverpool dan Barcelona, telah menolak tawaran tiga pasukan Brazil iaitu Palmeiras, Corinthians dan Atletico Mineiro selain satu daripada kelab Arab Saudi. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI