fbpx

Perubahan iklim cabaran industri ternakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INDUSTRI penternakan negara turut terjejas akibat kejadian banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini. -GAMBAR HIASAN

Oleh DATUK MOHD. AL KHAFIZ ZAINAL

IKLIM dunia yang sentiasa berubah memerlukan pengurusan pertanian dan ternakan lebih bergerak efektif bagi menghasilkan pengeluaran makanan yang mampan.

Pelbagai pihak termasuk kerajaan dan industri perlu mencari kaedah serta persediaan perancangan rapi bagi mengadaptasi perubahan iklim yang menyebabkan banjir dan kemarau luar biasa.

Menurut sumber Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih 40 peratus daripada keanjalan bekalan makanan disebabkan oleh pengeluaran makanan dari kawasan yang disediakan dengan sistem pengairan dan saliran.

Hal demikian memerlukan kreativiti serta inovasi terhadap ilmu, teknologi, polisi, pengurusan pertanian dan penternakan sedia ada.

Kelemahan dalam pengurusan bencana terutamanya daripada aspek pengumpulan data awalan serta edaran maklumat bencana terhadap para penternak boleh mengakibatkan kerugian besar.

Penternak di Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan terlibat banjir baru-baru ini mengalami kerugian lebih RM4 juta tidak termasuk kerosakan infrastruktur ternakan.

Industri ternakan ikan air tawar dalam negara kerugian lebih 20 juta semasa banjir baru-baru ini.

Kawasan-kawasan tumpuan ternakan di Pahang seperti Temerloh dan Kuantan mengalami limpahan air sungai luar biasa sehingga menyebabkan kerosakan pada infrastruktur ternakan ikan serta kerugian teruk akibat kematian ikan.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga telah mengaktifkan Bilik Bencana Banjir dan menggerakkan pegawai serta kakitangan bagi menyelaras dan membantu memindahkan ternakan dari kawasan terjejas ke kawasan lebih selamat.

Bantuan ini termasuk pusat pemindahan segera sejurus berlakunya banjir yang tidak dijangka termasuk makanan ternakan, rumput kering dan garam jilat turut diagihkan sebagai bantuan kecemasan kepada penternak.

Kerajaan turut memperuntukkan dana berjumlah RM80 juta di bawah Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan bertujuan membantu meringankan bebanan kumpulan sasar yang terkesan akibat daripada bencana alam seperti banjir kilat.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan, mereka akan terus membantu semua yang terkesan khususnya golongan petani, penternak, peladang dan nelayan serta pengusahadi sepanjang rantaian agromakanan.

Langkah segera dan proaktif sangat diperlukan kerana penternak sedang berhadapan dengan lonjakan harga bekalan makanan dunia.

Import bekalan makanan semakin meningkat setiap hari dari segi harga mahupun penggunaan harian.

Krisis akan menjejaskan corak bekalan makanan dari pasaran asing. Kebergantungan Malaysia kepada produk import dijangka meningkat pada masa depan apabila pengeluar tempatan meninggalkan industri.

Selama bertahun-tahun, Malaysia adalah pengimport bersih makanan pertanian dan produk makanan.

Dalam hal ini, negara mengimport lebih RM51 bilion (AS$12.14 bilion) produk makanan dan makanan pada 2018.

Dalam segmen pasaran makanan tertentu, Malaysia hampir sepenuhnya bergantung kepada pengimportan terutamanya dalam sektor daging, bersama dengan tenusu, makanan laut dan koko.

Malaysia mengimport kira-kira 80 peratus daging lembu dari negara lain, mencapai nilai import RM3.9 biion (AS$937.81 juta).

KEADAAN Sungai Parana yang kedua terpanjang di Amerika Selatan mengalami kemerosotahn paras air yang kritikal disebabkan perubahan iklim dunia.

Bekalan daging lembu domestik dipenuhi melalui pengimportan, terutamanya dari India (77 peratus), Australia (14 peratus) dan New Zealand (lima peratus).

Hampir semua ramuan produk tenusu diimport, termasuk tepung tanpa lemak dan susu penuh, whey dan pepejal tenusu lain.

Produk import ini kemudiannya digunakan untuk menghasilkan susu pekat manis, yogurt dan susu cecair terlarut semula.

Import susu dan krim Malaysia juga meningkat dengan ketara tahun ke tahun, mencecah RM266.49 juta (AS$63.7 juta) pada 2019.

Pembekal utama produk tenusu ialah New Zealand (37 peratus), A.S. (13 peratus) dan Australia (15 peratus).

Kini negara berhadapan dengan punca-punca awalan kepada krisis bekalan makanan di mana rantaiannya telah mula terjelas.

Bekalan makanan haiwan semakin meningkat akibat corak iklim dunia oleh negara pengeluar seperti Brazil.

Sejak lebih setahun lalu, Sungai Parana, sungai kedua terpanjang di Amerika Selatan selepas Amazon mengering.

Panjangnya 4,500km menganjur dari Brazil hingga ke Argentina.

Sungai ini bukan sahaja nyawa ekonomi rakyat di kawasan terbabit, ia turut memberi kesan kepada harga ayam dalam negara.

Ia menjadi laluan tongkang membawa lebih 45 juta tan kacang soya dan 50 juta jagung bijian yang kemudiannya di eksport seluruh dunia atau 80 peratus bekalan bijiran Argentina.
Argentina pula membekalkan 26 peratus keperluan bijiran dunia.

Sungai kering menyebabkan mereka terpaksa mencari jalan darat yang perlahan dan kos yang lebih tinggi.

Pada bulan Mei lalu, Argentina menghadkan eksport bijiran untuk melindungi keperluan dalam negara yang terjejas akibat kemarau.

Akibatnya, harga bijiran dunia melambung sekali ganda.

Untuk memahami kenaikan harga ayam, kita juga perlu memahami ekonomi bijiran, perkembangan cuaca atau bencana yang berlaku ditempat lain.

Sama seperti persiapan banjir.

Empat bulan terakhir ini, taburan hujan turun lebih banyak sehingga mencatatkan rekod di mana taburan hujan pada 18 hingga 22 Disember 2021 telah menyamai taburan hujan sepanjang tahun.
—————————————————————————————————————————-

DATUK MOHD. AL KHAFIZ ZAINAL ialah Pengerusi Eksekutif Aras Niaga Makmur Group Berhad yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Teknikal Malaysia Melaka Holding.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI