fbpx

1MDB: Malaysia terima RM340.92 juta daripada KPMG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Kerajaan telah menerima penyelesaian berjumlah RM340.92 juta daripada KPMG yang telah disalurkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset Malaysia (Malaysia’s Assets Recovery Trust Account).

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, penyelesaian itu adalah susulan daripada pengumuman pada 16 September tahun lalu di mana KPMG bersetuju untuk menyelesaikan saman sivil yang difailkan oleh 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap mereka.

“Setakat ini, Akaun Amanah yang diselia oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia telah menerima sejumlah RM19.138 bilion berhubung skandal kewangan 1MDB. Dana ini telah dan akan digunakan untuk menyelesaikan hutang tertunggak 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan bahawa sehingga kini, kerajaan telah membayar balik RM13.3 bilion hutang 1MDB dan pada 31 Disember 2021, hutang terkumpul 1MDB yang terdiri daripada prinsipal dan kupon serta keuntungan untuk bon juga Sukuk adalah berjumlah RM38.81 bilion.

“Bagaimanapun, baki semasa Akaun Amanah adalah mencukupi untuk membayar jumlah prinsipal bon untuk tahun ini (2022) sahaja. Apabila semua dana Akaun Amanah telah digunakan kerajaan akan terus menanggung obligasi untuk membayar baki hutang 1MDB yang penerbitannya disokong oleh Jaminan dan Surat Sokongan kerajaan,” katanya.

MOF menegaskan, kerajaan kekal komited dalam usaha pemulihan aset 1MDB dan akan sentiasa memastikan peruntukan yang mencukupi untuk menyelesaikan hutang 1MDB bagi menguruskan beban kewangan negara yang diakibatkan oleh entiti berkenaan.

“MOF ingin merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah atas usaha mereka dalam mencapai penyelesaian ini,” ujar kenyataan itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI