fbpx

71 pelajar tidak ke sekolah, terkandas di PPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adun Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Aziz menyantuni keluarga yang masih terkandas di PPS SMK Sungai Rambai, baru-baru ini.

MELAKA – Seramai 71 murid dan pelajar tidak dapat memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini susulan terkandas di tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) bencana banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, kesemua yang terlibat merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu, SK Seri Mendapat dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai.

Ujarnya, pada hari ini Jabatan Pendidikan negeri (JPN) merekodkan seramai 85,136 murid dan 65,219 pelajar telah memulakan sesi persekolahan.

“Bagaimanapun, terdapat 71 lagi murid dan pelajar kita yang masih berada di tiga buah PPS di daerah Jasin susulan terjejas dalam bencana banjir yang melanda baru-baru ini.

“JPN akan membantu golongan ini termasuk mengadakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian untuk mereka dalam memastikan tiada pelajar yang keciciran,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambahnya, pihaknya juga sedang berurusan dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk memastikan para pelajar yang terjejas diberikan buku teks baharu serta kelengkapan alat tulis.

Mengulas lanjut, Rais berkata, sejak bencana banjir melanda negeri ini pada 31 Disember lalu, sebanyak 16 buah sekolah telah dijadikan pps dan terkini hanya tiga buah sekolah masih digunakan.

“Daripada 16 sekolah, hanya tiga sahaja yang masih digunakan sebagai PPS di Jasin termasuklah kes murid dan pelajar yang terkandas, mereka bersekolah di situ,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut memberitahu, seramai 36 guru di negeri ini tidak terlibat dalam pembelajaran secara bersemuka ekoran belum mendapatkan suntikan vaksin.

“JPN sedang berusaha memujuk segelintir mereka yang enggan, selebihnya belum mendapatkan suntikan kerana bimbang dengan masalah kesihatan dihidapi,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI