PENDANG – Kira-kira 1,182 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Mohamad Ariff dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang yang terjejas akibat ribut dibenarkan menjalani proses pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR).
Pengarah Pendidikan negeri, Abdul Rahim Mat berkata, sebanyak 11 sekolah di Kedah mengalami kerosakan akibat kejadian itu, namun hanya sebuah sekolah dibenarkan melaksanakan PdPR setakat ini.
“Hanya sebuah sekolah iaitu SK Haji Mohamad Ariff terpaksa menjalani PdPR, bermula hari ini kerana bangunan kelas terjejas teruk akibat kejadian itu.
“Ia melibatkan kira-kira 600 murid dan tempoh PdPR ini akan dinilai dari semasa ke semasa. Keselamatan dan kebajikan murid menjadi keutamaan,” katanya kepada pemberita di Akademi Sains Pendang, di sini hari ini.
Katanya, zon paling kritikal adalah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pendang yang melibatkan enam sekolah terjejas iaitu SK Haji Mohamad Ariff, SK Paya Mengkuang, SK Paya Mak Insun, Akademi Sains Pendang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Puteh Dalam dan MRSM Pendang.
“Di PPD Kulim Bandar Baharu, ia melibatkan empat sekolah iaitu SK Dato’ Haji Zainudin, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ganesar, SMK Serdang dan SMK Lubuk Buntar, manakala PPD Kota Setar hanya membabitkan sebuah sekolah iaitu SK Kangkong,” ujarnya.
Menurutnya, kerosakan melibatkan struktur bumbung yang diterbangkan angin kencang dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Kita akan mengusahakan peruntukan kecemasan susulan bencana ini bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan dengan kadar segera,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Mara, Shahrizal Mohd. Saderi berkata, seramai 582 pelajar MRSM Pendang dibenarkan pulang ke rumah hari ini bagi menjalani PdPR.
Katanya, tiada kecederaan dilaporkan akibat ribut tersebut dan kerosakan melibatkan blok pentadbiran, blok akademik, asrama serta laluan pejalan kaki.
“Kita akan melaksanakan kerja-kerja pembaikan dengan kadar segera supaya sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat berjalan semula dan MRSM Pendang dapat beroperasi seperti biasa.
“Kita juga akan menyalurkan peruntukan khas berbentuk darurat kepada MRSM Pendang bagi menyelesaikan kerja-kerja ini dengan peruntukan darurat anggaran sekitar RM1.5 juta,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














