fbpx

‘Kami makin takut nak masuk hutan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Harimau belang yang mati ditembak oleh anggota Perhilitan dalam operasi khas di Kampung Sau, Pos Bihai, Gua Musang kelmarin.

GUA MUSANG – Lebih 30 keluar­ga Orang Asli di Kampung Sua, Pos Bihai di sini masih dihimpit ketakutan dengan ancaman harimau belang sekali pun Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menembak mati se­ekor binatang buas itu kelmarin.

Penghulu Kampung Sau, Alak Asu berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, terdapat sekurang-kurangnya 12 ekor harimau belang dikesan berkeliaran di dalam hutan berdekatan kampung mereka.

Katanya, sebelum ini, penduduk ada melihat kelibat tiga ekor harimau berkeliaran di kawasan Kampung Remau, Kampung Bayor dan Kampung Bujok.

“Walaupun seekor telah mati ditembak, namun masih ada lagi baki harimau yang berkeliaran.

“Kebanyakan penduduk juga sudah tidak berani untuk me­lakukan aktiviti harian termasuk mencari hasil hutan dan sumber makanan.

“Mereka memilih untuk ber­ada di rumah buat sementara waktu,” katanya kepada Kosmo! di­ sini semalam.

Alak berkata, penduduk kampung juga bersedia memberi kerjasama dan mengikut arahan pihak berkuasa termasuk kemungkinan berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

Terdahulu, sambutan pe­rayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Sau bertukar tragedi apabila seorang penduduk ditemui mati selepas dipercayai dibaham seekor harimau belang.

Dalam kejadian pad pukul 9.10 pagi itu, Anek Along, 59, yang sedang menumbuk padi huma di belakang rumahnya disedari hilang sebelum orang kampung me­nemui mayatnya di dalam hutan.

Mengulas kejadian itu, Penga­rah Perhilitan Kelantan, Moha­mad Hafid Rohani berkata, harimau belang jantan berusia tiga tahun seberat 120 kilogram itu berjaya ditembak mati oleh anggotanya kira-kira pukul 12.15 tengah hari kelmarin.

Katanya, tindakan itu terpaksa dilakukan selepas binatang buas itu cuba menyerang anggota Perhilitan yang membuat pencarian di kawasan hutan berkenaan.

“Harimau belang berkenaan telah meluru ke arah anggota Perhilitan menyebabkan anggota kami melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri.

“Pemeriksaan mendapati harimau itu turut mengalami luka pada muka dipercayai terkena lembing penduduk Orang Asli,” katanya.

Menurut Mohamad Hafid, bangkai harimau belang itu telah dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk tindakan lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI