PETALING JAYA – Meratapi kematian secara berlebihan merupakan amalan yang harus dicegah kerana ia adalah haram di sisi agama Islam.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, kematian merupakan ketentuan Allah S.W.T dan tiada siapa boleh menyangkal qada dan qadarNya.
“Umat Islam diharamkan untuk meratapi kematian seseorang individu secara berlebih-lebihan dan cukup sekadar mengenang tanpa meratapi kerana ia tidak diajar dalam ajaran Islam.
“Berdasarkan ajaran Islam, umat Islam disunatkan untuk berkabung selama tiga hari dan bukan untuk tempoh masa yang lama. Dalam tempoh tersebut, kita boleh mendoakan arwah dan sedekahkan al-Fatihah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap kejadian yang berlaku perlu dijadikan iktibar termasuk memperbanyakkan lagi amalan.
“Kita sepatutnya menginsafkan diri dengan kematian kerana nasib kita sendiri masih tidak diketahui dan sebelum kematian menjemput kita, perbanyakkan amalan seperti sedekah dan ibadat sebagai bekalan di akhirat kelak.
“Nasihat saya, usahlah meratapi kematian insan yang telah pergi untuk selama-lamanya cukup dengan kadar sederhana kerana hidup di dunia ini hanya sementara dan tiada yang kekal,” jelasnya. -K! ONLINE














