fbpx

Usaha kerajaan memulih, menstrukturkan ekonomi membuahkan hasil-PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nilai pelaburan yang diluluskan pada separuh pertama tahun ini bakal menawarkan peluang pekerjaan yang baik kepada penduduk di negara ini. -Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Usaha kerajaan untuk memulih dan menstrukturkan semula ekonomi negara telah membuahkan hasil dengan pencapaian positif beberapa indikator-indikator utama ekonomi makro dan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buat pertama kali, jumlah perdagangan negara mencecah RM2 trillion selepas berkembang 24.6 peratus bagi tempoh Januari hingga November 2021 berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia turut meningkat sebanyak 3.0 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2021.

“Sebagai indikator kepada kerancakan ekonomi di peringkat kepenggunaan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit juga merekodkan peningkatan sebanyak 5.4 peratus kepada RM116.4 bilion pada Oktober 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu perutusan khas yang disiarkan secara langsung bersempena sambutan Tahun Baharu 2022 sebentar tadi.

Menurut beliau, Malaysia mencatatkan perkembangan positif RM12.8 bilion pelaburan langsung asing (FDI) bersih pada suku ketiga 2021 berbanding RM8.2 bilion pada suku kedua dengan peningkatan sebanyak 56 peratus.

“Ini menjadikan jumlah FDI bersih bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sebanyak lebih RM30 bilion.

“Saya yakin, dengan momentum pertumbuhan ekonomi negara dijangka berterusan pada tahun 2022 dengan kadar pertumbuhan KDNK yang diunjurkan berkembang antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Malaysia dilihat beransur pulih apabila merekodkan sebanyak 4.3 peratus pada Oktober lalu berbanding kemuncak 5.3 peratus pada Mei 2020.

“Angka terbaru itu juga adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan dua bulan sebelumnya,” ujar beliau.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI