fbpx

Malaysia kutuk serangan terbaharu Houthi ke atas Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyokong Houti Syiah mengadakan demonstrasi di ibu negeri Sana'a pada 25 Jun 2018 - Foto FAIL AFP

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan peluru berpandu oleh puak pemberontak Syiah Houthi di Yaman ke atas wilayah Jazan di Arab Saudi baru-baru ini.

Wisma Putra menerusi satu kenyataan hari ini berkata, insiden tidak dijangka itu telah mengakibatkan dua orang awam termasuk seorang rakyat Arab Saudi maut di ibu wilayah bersempadan Yemen berkenaan yang juga disebut sebagai Jazan.

“Malaysia justeru menzahirkan perasaan simpati dan takziah kepada mangsa yang terjejas teruk akibat daripada serangan balistik tersebut.

“Media rasmi negara itu, Saudi Press Agency melaporkan enam rakyatnya dan seorang warga Bangladesh turut cedera selain 12 buah kereta dan dua premis kedai di situ hancur musnah,” kata kenyataan itu.

Jurucakap kumpulan militan Houthi, Yahya Sarea menerusi ciapan dalam akaun media sosial Twitter mengesahkan kejayaan mereka melancarkan tiga serangan peluru berpandu ke bandar itu.

Satu lagi serangan turut menyasarkan Najran, ibu kota wilayah Najran yang bersempadan dengan Yemen, namun hanya mengakibatkan kerosakan harta benda milik penduduk awamnya.

Sejak awal 2018 lalu, puak Houthi yang disokong kerajaan Iran sudah berjaya melancarkan sejumlah 430 serangan peluru balistik dan 850 dron pengebom ke atas wilayah Arab Saudi.

Mengulas lanjut, Wisma Putra menegaskan pendirian Malaysia tetap menolak sebarang bentuk keganasan yang boleh mengancam proses kestabilan dan keselamatan rantau Asia Barat.

“Tindakan perseteruan bersenjata yang tidak berkesudahan sebenarnya akan lebih memberi mudarat kepada usaha keamanan dan kesejahteraan semua pihak terlibat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Malaysia akan terus memberi sokongan dalam mencari penyelesaian secara damai terhadap kemelut politik di Yemen yang menyaksikan perang saudara sejak 2014.

Konflik permusuhan di negara itu mengakibatkan lebih 377,000 maut termasuk ribuan orang awam dan mencetuskan krisis kemanusiaan dengan tiga juta rakyatnya menjadi pelarian. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI