fbpx

Guru jangan mudah kecil hati, lepas ego pastikan pelajar berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad bersama kereta jenis Perodua Aruz yang dihadiahkan anak muridnya.

SEREMBAN – “Andai diulang masa, saya tetap ingin terus menjadi guru di Kolej Tunku Kurshiah (TKC),” luah Cikgu Ahmad Bidin, 58, ketika ditemui di kediamannya di Taman Bukit Nibong, Sikamat, di sini, hari ini.

Kisah Ahmad menjadi tular apabila dia menerima sebuah kereta Perodua Aruz yang disumbangkan oleh 38 kumpulan (batch) pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari tahun 1980 hingga 2021 dan A Level , TKC sempena persaraannya.

Bagaimanapun menurut Ahmad, pemilihan sekolah itu bukanlah bermakna tugas mengajar di TKC lebih mudah, namun, dia beranggapan, walau di mana sahaja seorang guru ditempatkan, setiap tahun cabarannya pasti bertukar serta bertambah.

“Guru ini boleh diibaratkan seperti lilin yang membakar dirinya sendiri. Walau ada pihak yang kini tidak berapa setuju dengan perumpamaan tersebut, bagi saya perumpamaan ini tepat menggambarkan diri seorang guru.

“Ada masanya guru ini kena memendam rasa, melepaskan egonya sendiri bagi memastikan anak-anak didiknya berjaya,” katanya.

Tambah beliau lagi, sesiapa sahaja yang bergelar guru sewajarnya tidak perlu cepat berkecil hati dengan kata-kata ibu bapa yang kadang-kala dikuasai emosi marah sekiranya terdapat isu membabitkan anak mereka.

Menurutnya, sudah menjadi lumrah ibu bapa akan mengeluarkan kata-kata berkenaan, namun, guru perlulah berjiwa besar serta tidak perlu terlalu mengambil perhatian terhadap emosi marah tersebut.

“Sikap ini memang perlu ada dalam diri guru, ikhlas dalam melaksanakan tugas dan sentiasa mencari kebaikan dalam diri siapa sahaja terutamanya anak murid,” katanya.

Ahmad yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak tiga kali sepanjang 35 tahun perkhidmatannya menyatakan, dia juga tidak pernah merasakan “terpaksa” dalam menjadi seorang guru lebih-lebih lagi bapanya, arwah Bidin Abdul Majid merupakan seorang guru.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI