fbpx
BADDROL bakal bersaing dengan Afiq dan Natxo untuk merebut Anugerah Pemain Tengah Terbaik pada ABK21 malam esok. - MFL

ABK21 malam kemuncak Liga M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh MOHD. FITRIE MUHAMAD

TEKA-teki siapa bakal dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M) bakal terjawab pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021 (ABK21) yang akan diadakan secara virtual malam esok.

Selepas lapan bulan saingan Liga M berlangsung, ABK21 bakal menjadi kemuncak untuk menyaksikan siapa yang layak dinobatkan sebagai pemain terbaik di kalangan terbaik.

Ifedayo Olusegun bakal ditabalkan memenangi Anugerah Penjaring Terbanyak Liga Super dengan merekodkan 26 gol sepanjang musim, manakala tonggak Harimau Malaya, Baddrol Bakhtiar menerima Anugerah Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super.

Fernando Rodriguez (Johor Darul Ta’zim II) dan Jordan Mintah (Terengganu FC II) masing-masing meledak 16 gol untuk dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penjaring Terbanyak Liga Premier.

Penyerang Kelantan, Nurshamil Abd. Ghani pula akan dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier dengan sembilan gol.

Selain itu, kategori lain yang dipertandingkan adalah Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Pemain Import Terbaik, Pasukan Terbaik, Fair Play, Fan XI dan MVP.

Kategori pemain tengah terbaik juga menarik untuk disaksikan membabitkan tiga pemain berprofil tinggi iaitu Baddrol dan dua bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail serta Natxo Insa.

Baddrol yang kini bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi Piala AFF Suzuki di Singapura pastinya teruja untuk cuba memecah dominasi JDT selepas kali terakhir memenanginya empat tahun lalu.

“Kalau bercakap pasal calon, semuanya hebat-hebat dan saya sendiri sebenarnya kalau boleh tidak mahu terlepas peluang untuk memenangi semula trofi ini.

“Sebab kali terakhir menang pun tahun 2017, dah lama dah. Saya harap tahun ini berpeluang untuk menang,” katanya. – K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN