fbpx

Chong Wei bakal terima anugerah Ijazah Kehormat USM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail akan menyampaikan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan kepada Datuk Lee Chong Wei, 2 Disember ini dalam sidang satu Upacara Konvokesyen ke-58 USM di Istana Arau, Perlis.

GEORGE TOWN – Tokoh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bakal menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan dari Universiti Sains Malaysia (USM) sempena Upacara Konvokesyen ke-58 universiti berkenaan.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, Chong Wei akan menerima Ijazah Kehormat itu daripada Canselor USM, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail pada sidang satu di Istana Arau, Perlis, 2 Disember depan.

“Upacara Konvokesyen ke-58 USM akan bermula pada 2 Disember (sidang satu) di Istana Arau dan diikuti dengan sidang kedua hingga kesepuluh, bermula 13 hingga 21 Disember di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM.

“Canselor USM telah berkenan untuk mempengerusikan sidang satu pada 2 Disember di Istana Arau dengan melibatkan penganugerahan kepada lima penerima utama termasuk Chong Wei yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Tuanku Syed Sirajuddin akan turut menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada Dr. David Lacey yang merupakan tokoh yang telah banyak menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara melalui kepakarannya dalam bidang sains.

“Penerima lain dalam sidang satu ini ialah Profesor Emeritus, Dr. Zhari Ismail yang akan menerima gelaran Profesor Emeritus manakala bekas Naib Canselor USM, Datuk Dr Asma Ismail akan menerima gelaran Profesor Emerita.

“Selain itu, seorang pelajar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Khaw Teng Kang akan dinobatkan sebagai Penerima Pingat Emas Canselor (Pelajar Terbaik Segala Lapangan) dalam sidang satu ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sejumlah 5,964 graduan akan menerima ijazah masing-masing termasuk Ijazah Tinggi (Ph.D dan Sarjana sebanyak 1,899), Ijazah Sarjana Muda (4,031) dan Diploma Kejururawatan (34). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI