fbpx

Al Islah bina empayar bantu kanak-kanak daripada keluarga B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saiful Islam (tengah) bersama pelajar di Akademi Tahfeez Al Islah.

PETALING JAYA – Niat menguruskan pusat tahfiz seringkali disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga imej murninya dianggap negatif pada pandangan masyarakat.

Melihat kepada kanak-kanak berkeliaran menjual produk dan menjadi peminta sedekah me­rayu bantuan orang ramai juga mencalar imej institusi pengajian tersebut dan sehingga kini ada individu hidup mewah atas penderaan mental dan fizikal ke atas kanak-kanak tersebut.

Menangkis segala tohmahan dan pandangan negatif masyarakat terhadap institusi mulia itu, seorang usahawan dan juga penggiat aktif badan bukan kerajaan (NGO) berasaskan Islam di luar negara, Saiful Islam Mohamad Naser Al Hafiz, 37, berusaha membangunkan sebuah akademi bersepadu disokong oleh cabang perniagaan yang berdaya maju di bawah Akademi Tahfeez Al Islah (Al Islah).

Akademi yang mula diba­ngunkan pada tahun 2015 itu kini memiliki 10 cawangan di seluruh negara.

Institusi tersebut dibangunkan atas tanggungjawab Kumpulan untuk membentuk insan masa kini khususnya golongan remaja dan kanak-kanak terdidik dengan ilmu agama, motivasi diri dan keusahawanan.

Selain itu, ia memfokuskan kepada konsep kebajikan untuk memberi pendidikan agama buat kanak-kanak daripada keluarga B40, asnaf, fakir miskin dan juga anak yatim yang berumur antara tujuh hingga 15 tahun.

Saiful Islam yang pernah dilantik sebagai imam di sebuah masjid di Australia pada tahun 2007 itu dan mendapat pendidikan di Darul Quran, Kuala Kubu itu berkata, Al Islah menawarkan tiga kategori pem­belajaran yang terdiri daripada harian, mingguan dan juga pengajian penuh kepada kumpulan sasaran.

“Membiayai sebuah akademi yang memiliki cawangan yang luas di seluruh negara akan melibatkan kos yang tinggi. Meskipun ada sahaja dermawan dan pelabur yang menyokong akademi ini, tetapi kami masih berdikari dan aktif dalam menjalankan perniagaan bagi menjana pendapatan yang berpotensi untuk jangka panjang.

“Pelbagai aktiviti perniagaan dilaksanakan dan kami memiliki jabatan khusus untuk ­menyelaras, memantau dan me­ngendalikan segala hal ehwal niaga untuk membolehkan akademi ini terus berdaya saing,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Usahawan yang berasal dari Kelantan itu juga telah memba­ngunkan syarikat Thibbna Empire untuk menghasilkan produk penjagaan kesihatan pada tahun 2017 dan kini telah memiliki empat jenis produk yang dijual pada harga RM10 hingga RM50.

Produk yang dijual secara off­line dan online itu mencatat perolehan lebih RM30,000 sebulan, malah permintaannya terus bertambah ketika pandemik Covid-19.

“Kumpulan juga membangunkan cabang pendidikan Al Islah Softskill yang mana ia menawarkan beberapa segmen menarik untuk diceburi oleh pelajar tahfiz bagi membolehkan mereka memiliki kemahiran lain untuk mencungkil bakat masing-masing.

“Melalui Al Islah Softskill, kami memberi peluang kepada kanak-kanak untuk terlibat dalam bidang pengucapan awam, aktiviti kemanusiaan, digital online dan juga keusahawanan,” jelasnya.

Bagi bidang keusahawanan tersebut, bakat dan kemahiran mereka dapat diasah dengan melibatkan diri berniaga melalui penubuhan Da’i Mart.

Projek Da’i Mart yang terdiri daripada outlet yang menawarkan pelbagai barangan keperluan dapur pada harga berpatutan itu telah direalisasikan dengan pembukaan cawangan sulung pada suku ketiga tahun ini di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Lokasinya yang strategik dan terletak di kawasan komuniti penduduk daripada kumpulan B40 telah mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan,” jelas­nya.

Tambah Saiful Islam, syarikat bercadang untuk membuka tiga lagi cawangan baharu tidak lama lagi secara berperingkat.

Selain itu, beliau menerangkan, pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada banyak sektor dan antara yang turut terjejas teruk ialah institusi tahfiz yang menyebabkan ada premis yang terpaksa ditutup.

Atas sikap keprihatinan Saiful Islam dan kumpulan pelaksa­nanya, mereka telah muncul sebagai penggerak utama sebagai penyelamat dengan melancarkan pengajian tahfiz secara online yang dikenali sebagai i Huffaz.

“Program ini dijangka dapat membantu pelajar tahfiz meneruskan pengajian masing-ma­sing setelah banyak pusat tahfiz ditutup.

“Kumpulan akan menawarkan buku khusus untuk dijadikan rujukan pembelajaran secara online, menawarkan pakar-pakar tajwid dan tenaga pengajar selain menawarkan akses percuma secara webinar dan video pembelajaran terkini kepada pelajar,” katanya.

Sementara itu, menurut beliau, bagi melengkapi inisiatif ke arah digital, Kumpulan turut membangunkan Khalifah Islamic Digital Sdn. Bhd.

Lebih menarik, Saiful Islam turut aktif membangunkan Al Khaaiyr Health Centre yang mana ia menawarkan perkhidmatan perubatan dan penjagaan kesihatan kepada kumpulan sasaran dengan percuma.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI