fbpx

Rumah nenek jadi tempat sorok dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainuddin (kanan) menunjukkan sebahagian dadah jenis heroin yang dirampas selepas menahan seorang lelaki di Kampung Belimbing, Tanah Merah kelmarin. FOTO BAHRUDDIN HATTA

TANAH MERAH – Seorang penganggur berdepan hukuman mati mandatori selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah jenis heroin seberat 1.5 kilogram di Kampung Belimbing di sini kelmarin.

Suspek yang berusia 25 tahun ditahan pada pukul 6.50 petang semasa sedang berjalan kaki di tepi jalan kawasan kampung itu dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md. Yusuf berkata, pemeriksaan pada tubuh badan suspek telah menjumpai satu bungkusan mengandungi 30 botol kecil yang berisi dadah jenis heroin seberat 198.5 gram berada di dalam genggaman tangannya.

Menurutnya, hasil soal siasat terhadap suspek di lokasi kejadian, lelaki itu mengaku ada menyimpan sebahagian besar dadah jenis sama di rumah keluarga dan rumah neneknya di kampung tersebut.

“Berdasarkan maklumat itu, polis terus menyerbu rumah neneknya dan menemui 10 botol kecil mengandungi dadah jenis heroin seberat 59.2 gram di dalam sebuah bilik. Siasatan mendapati, warga emas itu tidak mengetahui rumahnya menjadi lokasi penyimpanan dadah-dadah tersebut.

“Selepas itu, polis terus menjalankan serbuan ke rumah suspek yang tinggal bersama isteri dan anaknya berusia tiga bulan di Pondok Hidayah di sini sebelum menemui 150 botol kecik mengandungi 1.2 kilogram dadah sama disorok di dalam tandas,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah di sini hari ini.

Menurut Zainuddin, siasatan mendapati kesemua dadah yang dirampas bernilai RM380,000 dan ia mampu dijual kepada seramai 19,000 orang penagih.

Ujarnya, berdasarkan siasatan, suspek memaklumkan bahawa dia mendapat kesemua bekalan dadah itu daripada seorang lelaki warga Thailand untuk dijual di Tanah Merah dan beberapa daerah lain.

“Suspek juga mengaku baru terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak tiga bulan lalu. Lelaki itu tidak mempunyai seberang rekod jenayah lampau dan ujian saringan juga mendapati suspek juga negatif dadah,” katanya.

Tambah Zainuddin, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI