fbpx

Tip berkhemah musim hujan elak kebosanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAWA makanan yang boleh sedia dimakan seperti biskut kerana agak sukar untuk memasak ketika cuaca hujan. – GAMBAR HIASAN

SELEPAS berkurung hampir dua tahun di dalam rumah akibat pandemik Covid-19, orang ramai mula melakukan pelbagai aktiviti riadah terutama pada hujung minggu.

Ketika ini, minat masyarakat di Malaysia tertumpu kepada aktiviti perkhemahan sama ada di dalam hutan, kawasan air terjun atau tepi pantai.

Buktinya, hampir semua tapak perkhemahan di seluruh negara penuh, terutamanya pada hujung minggu, malah jualan barangan keperluan bagi aktiviti tersebut turut laris di pasaran.

Aktiviti berkhemah bukan sahaja dapat lari daripada kesibukan kerja, malah berpeluang menikmati alam semula jadi sambil beramah mesra dengan rakan atau keluarga.

Dalam keghairahan berkhemah, ramai pemula aktiviti itu tidak melakukan persiapan rapi terutamanya ketika hujan.

Situasi tersebut membuatkan rasa seronok berkhemah menjadi sebaliknya apabila khemah dimasuki air, tidak boleh memasak dan melakukan aktiviti luar.

Bagi mengatasi masalah tersebut, Horizon ingin berkongsi beberapa perkara yang harus diberi perhatian apabila berkhemah ketika musim hujan.

1. Bawa beg kalis air
Salah satu barang paling penting ketika berkhemah semasa hujan adalah beg kalis air.

Dengan adanya beg ini, anda dapat menyimpan pelbagai barang penting seperti pakaian, ubat-ubatan, telefon pintar dan bekalan kuasa di dalamnya.

Meskipun barangan tersebut diletakkan di dalam khemah kalis air, namun ia tetap berisiko basah. Hal ini kerana, air boleh memasuki khemah pada bila-bila masa sekiranya hujan terlalu lebat.

2. Ubah kedudukan khemah

Setiap orang mahu khemah berada di kawasan tanah rata untuk keselesaan ketika tidur.

Sekiranya hujan, anda perlu tempatkan khemah di kawasan sedikit bercerun kerana lokasi itu sukar membentuk air bertakung.

Sebaiknya, elakkan berkhemah di bawah kaki bukit kerana dibimbangi menjadi tempat laluan air.

LETAK terpal di dalam khemah bagi mengelakkan air meresap masuk, selain menjadikan beg tidur dan barang dibawa kekal kering. – GAMBAR HIASAN

3. Letakkan terpal

Ketika hari panas, terpal biasanya diletakkan di bahagan luar bagi mengelak kelembapan tanah meresap masuk ke dalam khemah. Ia juga menghalang duri dan ranting tajam mengoyakkan khemah.

Sebelum hujan, anda disarankan meletakan terpal di dalam khemah.

Ini dapat mengelakkan air meresap masuk ke dalam khemah, sekali gus menjadikan beg tidur dan barang dibawa kekal kering.

4. Makanan sedia makan

Menikmati makanan panas ketika hujan merupakan satu nikmat yang luar biasa.

Namun, jika hujan terlalu lebat, anda perlu menukar menu yang dirancang.

Pastikan membawa makanan sedia makan yang tidak memerlukan anda memasak seperti biskut, roti dan bar tenaga.

Ini kerana, sukar untuk memasak atau menghidupkan api ketika hari hujan.

BAGI mengatasi kebosanan menanti hujan reda, anda disyorkan membawa alat permainan seperti daun terup untuk dimainkan bersama rakan-rakan.

5. Bawa permainan

Ketika hujan, segala aktiviti luar seperti mendaki, berbasikal dan memancing yang dirancang tidak dapat dilakukan.

Anda akan menghabiskan masa di dalam khemah.

Justeru, disarankan membawa buku, daun terup, dam atau catur bagi menghilangkan kebosanan menunggu hujan reda.

Anda juga boleh membawa telefon pintar atau iPad untuk menonton filem.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI