fbpx
Banyak restoran tomyam di sekitar Kota Bharu menggunakan khidmat tukang masak Thailand sebelum ini. – ZULHANIFA SIDEK

Tauke tomyam pening kepala cari cef Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sejak ramai rakyat Thailand yang bekerja di Malaysia pulang ke negara asal pada April tahun lalu akibat Co­vid-19, kebanyakan pemilik kedai tomyam di negara ini masih buntu untuk mencari tukang masak tulen dari negara jiran itu.

Ada peniaga yang menggaji­kan tukang masak tempatan, tetapi air tangan mereka tidak sama dengan ‘cef’ Thai yang pakar dalam menyediakan hida­ngan masakan Thailand yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.

Keadaan itu mengakibatkan restoran tomyam mereka me­ngalami kekurangan pelanggan.

Bendahari Persatuan Peniaga Tomyam Melayu Johor Bahru, Saari Abdullah berkata, ramai peniaga akhirnya terpaksa menutup cawangan restoran tom­yam akibat kekurangan pekerja terutamanya tukang masak tulen warga Thailand.

“Peniaga di Johor masih me­ngalami masalah kekurangan pekerja dan kebanyakan pemilik kedai tomyam mempunyai lebih daripada satu kedai, tetapi sekarang mereka terpaksa menu­tupnya disebabkan tidak mampu menanggung kerugian.

“Ada yang tutup sementara dan ada yang terus menamatkan operasi perniagaan. Sebahagian mereka juga telah mula melakukan kerja lain dalam mencari sumber pendapatan untuk menanggung keluarga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Saari berkata, dia sendiri me­ngalami masalah yang sama de­ngan menutup sebuah cawangan kedai tomyamnya di Johor dise­babkan kekurangan pekerja.

Sebelum ini katanya, pekerja-pekerja warga Thailand telah memohon untuk pulang ke negara asal buat sementara waktu, namun sehingga kini belum mendapat kebenaran untuk balik semula ke Malaysia kerana pintu sempadan masih ditutup.

“Disebabkan itu, saya terpaksa meminta pertolongan ahli keluarga untuk membantu me­nguruskan kedai dan hanya satu cawangan yang mampu dibuka semula,” katanya.

Saari berharap kerajaan dapat bertindak segera bagi membantu nasib pemilik kedai tomyam de­ngan memberi satu kemasukan bersyarat agar pekerja dari negara jiran dapat pulang dan bekerja semula di Malaysia.

“Jika kami perlu menanggung kos ujian calitan dan penempatan sepanjang tempoh kuarantin pun kami sanggup,” ujarnya.

Di Kota Bharu, kebanyakan kedai makan yang menggunakan pekerja Thailand didapati masih belum beroperasi sepenuhnya walaupun kerajaan sudah membenarkan dine-in.

Seorang pemilik restoran tomyam, Haslinda Wahab, 40, berkata, dia tidak boleh membuka premis sepenuhnya lagi kerana kekurangan pekerja terutama tukang masak dari Thailand.

Katanya, ketika ini, suaminya yang memasak hidangan Thailand seperti tomyam, namun makanan dijual secara bungkus.

“Setakat ini, kedai saya masih mampu bertahan dan kami akan terus bertahan. Saya tidak akan benarkan pekerja saya masuk ke Kelantan secara haram kerana bimbang ditahan pihak berkuasa.

“Saya minta agar pekerja me­nunggu sehingga Malaysia dan Thailand membuka pintu sempadan. Mungkin selepas itu, kedai kami boleh beroperasi sepenuhnya termasuk dine-in.

“Saya amat berharap pintu sempadan dapat dibuka dalam masa terdekat bagi memboleh­kan pekerja saya datang semula ke sini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN