fbpx
DUA sahabat, Nordin Ahmad (kiri) dan Zakaria Serahan berpuas hati dengan hasil tangkapan raja sungai, kelah yang diperoleh mereka di Jeram Perahu.

Buru raja sungai di Jeram Perahu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERAM Perahu di Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang sememangnya tidak asing lagi buat pemancing tegar bagi memburu ikan sungai khususnya raja sungai, kelah.

Jadi, tidak hairanlah jeram yang jernih dan tidak tercemar itu kembali menjadi tumpuan kaki pancing bagi memburu kelah dan tengas sejak sempadan negeri dibuka pada 11 Oktober lalu.

Malah, pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu yang mengehadkan aktiviti manusia seperti memancing dan berburu memberi peluang kepada haiwan membiak dan membesar dengan baik dan mudah menjamah umpan.

Seorang pemancing, Muzaffar Syam Mohamad,48, bersama enam rakannya dari Jengka sanggup meredah Sungai Tembeling untuk memburu ikan eksotik yang menjadi kegemaran peminat ikan air tawar itu.


TERPANCAR kegembiraan pada raut wajah Zakaria selepas berjaya menjinakkan beberapa ekor ikan kelah.

Katanya, untuk sampai ke Jeram Perahu, mereka mengambil masa kira-kira tiga jam dengan menaiki bot dari Jeti Kampung Mat Daling.

“Kami kemudian perlu berkhemah dan bermalam selama tiga hari di atas pasir sungai di Jeram Perahu.

“Lokasi memancing tumpuan pula adalah kawasan dipanggil kepala jeram yang mengambil masa antara 45 minit hingga sejam untuk sampai dari situ dengan melalui laluan sungai berbatu dan trek hutan.

“Kepala jeram itu memang terkenal sebagai lubuk ikan berkualiti tinggi seperti kelah merah, tengas, baung, kenerak, lampam dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kehadiran mereka ke Jeram Perahu sangat berbaloi kerana di situ masih banyak ikan yang ‘sempat’ membesar dan membiak dengan sempurna dalam tempoh dua tahun pandemik Covid-19 melanda negara.


JERAM Perahu sememangnya terkenal dalam kalangan pemburu ikan sungai sebagai lubuk ikan bermutu tinggi seperti kelah, tengas, baung dan kenerak.

Ujarnya, tempoh yang panjang kawasan itu tidak ‘diusik’ pemancing, membuatkan ikan lebih mudah untuk memakan umpan, sekali gus membuatkan kaki pancing bagaikan tidak mahu pulang kerana terlalu seronok menangkap hidupan sungai itu.

“Sambil dapat melihat fenomena alam semula jadi terutamanya di rembang senja dan suasana sepi malam, kami dapat menikmati ikan eksotik sepuas-puasnya.

“Lagipun, ikan-ikan ini mahal harganya di pasaran. Sebagai contoh, harga kelah menjangkau lebih RM200 sekilogram, begitu juga tengas yang dianggap maharani hidupan sungai yang habitatnya di celah batuan,” katanya.

MUZAFFAR SYAM sanggup datang dari Jengka semata-mata ingin memburu kelah.

Sementara itu, tekong bot, Zakaria Serahan berkata, kawasan itu sememangnya masih mempunyai banyak ikan sungai yang bernilai tinggi khususnya kelah.

Justeru, beliau berharap semua pihak termasuk pihak berkuasa dan penduduk kampung bekerjasama turun padang memantau mana-mana pihak menggunakan racun atau peralatan tidak dibenarkan bagi menangkap ikan.

POPULAR