fbpx
SUHAIZA nekad berhenti kerja dan melepaskan jawatan sebagai pegawai bank selepas 25 tahun berkhidmat demi membangunkan perniagaan berasaskan sarang burung miliknya sendiri.

Tinggal dunia perbankan demi bantu orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN meninggalkan kerjaya yang kita sayang dan cintai pasti bukan satu perkara mudah untuk dilakukan.

Apatah lagi kerjaya tersebut merupakan profesion yang selama ini menjadi periuk nasi utama dan sudah berpuluh tahun kita lakukan.

Itu antara yang terpaksa dilalui ibu kepada empat orang cahaya mata saat mula-mula mahu meninggalkan kerjaya kesayangannya itu sekitar 2016 lalu.

Akui pemilik nama sebenar Suhaiza Hussin, 47, pada masa itu hanya dia dan Tuhan sahaja yang mengerti tentang perasaan yang bemain mengenai keputusan yang bakal diambilnya itu.

“Puas saya tanya pendapat semua orang mengenai keputusan untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri.

“Biasalah ada yang kata teruskan, tidak kurang juga yang kurang bersetuju dengan keputusan berhenti kerja memandangkan bukan baharu bekerja tetapi sudah 25 tahun sebagai pegawai bank sebelum ini.

“Kepada Allah juga saya bertanya dan minta bantuan untuk itu. Jadi setelah fikirkan masak-masak dan yakin dengan hati paling dalam, saya nekad untuk meneruskan niat berhenti kerja dan berniaga,” katanya membuka bicara bersama Aura.

Menurut Suhaiza atau lebih mesra disapa sebagai Kak Sue, keputusan untuk berniaga sebelum itu telah dibincangkan bersama sahabat baiknya, Maria Elmar, 38, yang sama-sama mempunyai latar belakang dalam bidang perbankan.

Meneruskan perkongsian, Kak Sue memberitahu, dia dan Maria yang sama-sama sukakan minuman kesihatan berasaskan sarang burung sebelumnya pernah memasang niat untuk bebisnes produk tersebut.

“Kami berdua memang banyak berkongsi minat sama. Jadi bila masing-masing memang dah jadi ‘hantu’ minuman sarang burung, kami pun terdetik untuk ada perniagaan sendiri.

“Walaupun umum tahu kos dan modal untuk perniagaan tersebut tersangatlah tinggi, namun dek kerana minat dan impian tertanam, kami teruskan menggunakan wang simpanan yang ada.

“Jadi bermula awal tahun lalu, lahirlah perniagaan yang kami berdua bangunkan menerusi produk utama kami iaitu minuman kesihatan sarang burung di bawah jenama Aafya Walet,” ujarnya.

SUHAIZA (kanan) dan pengasas bersama merangkap sahabat baiknya, Maria mahu membuktikan bumiputera seperti mereka juga mampu mengendalikan perniagaan yang rata-rata didominasi kaum lain di negara ini.

Berkongsi lanjut, Kak Sue memberitahu, perancangan untuk melancarkan produk sulung mereka berdua itu hampir ‘gagal’ dan menemui jalan buntu dek kerana musibah pandemik Covid-19 yang hadir 18 Mac lalu.

Kata Kak Sue, dia dan team (pasukan) sudah melakukan yang terbaik bagi pelancaran Aafya Walet namun terhenti sekelip mata gara-gara kehadiran virus maut tidak diundang itu.

“Itulah antara cabaran terbesar yang terpaksa kami lalui. Pada mulanya memang agak sukar untuk diterima, tetapi kami tidak putus asa.

“Meskipun melalui pelbagai cabaran getir kerana tidak dapat bertemu ejen dan pelanggan secara bersemuka, tapi inisiatif yang ada seperti online kami gunakan sehabis baik bagi memastikan jenama Aafya Walet terus kukuh dan dikenali di peringkat awal,” katanya.

SEBILANGAN daripada 200 ejen dan stokis yang banyak membantu memacu perniaagaan serta menaikkan jenama Aafya Walet hingga dikenali ramai ketika ini.

Ditebak mengenai cabaran lain yang terpaksa ditelan dua wanita hebat ini, Kak Sue memberitahu perniagaan berasaskan sarang burung tidak semudah seperti lain-lain produk.

Akuinya, selain kos dan modal tinggi, aspek penjagaan juga menjadi keutamaan kerana sifat sarang burung itu sendiri yang terlalu sensitif dan agak ‘cerewet’ untuk dikendali.

“Tetapi tak mengapalah, sudah alang-alang kami pilih perniagaan itu, kami teruskan sahaja.
Lagipun kami nak buktikan, bumiputera seperti kami juga mampu untuk ada perniagaan sarang burung sendiri.

“Niat kami berdua satu saja, bukan setakat untuk berniaga dan bermotif keuntungan semata-mata, tetapi mahu berkongsi rezeki bersama sesiapa sahaja,” katanya menutup bicara. – K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN