fbpx

Tiga tahun susah payah biak nemo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Usaha pembiakan spesies ikan inggu berjaya dilakukan secara konsisten di Akuarium Tunku Abdul Rahman, Batu Maung, George Town.

GEORGE TOWN – Setelah tiga tahun berusaha keras menjalankan pelbagai teknik penyelidikan, pasukan penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) berjaya membiak spesies ikan inggu atau clownfish di Akua­rium Tunku Abdul Rahman, Batu Maung di sini.

Penolong Pegawai Penyelidik FRI, Dzulfikkar Baitulma’mur, 37, berkata, antara spesies ikan inggu yang berjaya dibiakkan ialah Amphiprion oscellaris, Amphiprion perideraion dan Amphiprion biaculeatus.

Menurutnya yang mengetuai penyelidikan itu, pasukannya juga berjaya membiakkan pasangan kacukan antara spesies Amphiprion ephippium dengan Amphiprion melanopus.

“Penyelidikan ini bermula pada 2018 selepas pihaknya mendapati spesies ikan yang popular dengan digelar nemo yang dipamerkan di Akuarium Tunku Abdul Rahman itu mula menunjukkan perubahan untuk membiak.

“Jadi, kami pun cuba pelbagai teknik secara trial and error ke­rana pasukan kami tidak pernah menjalankan penyelidikan me­ngenainya sebelum ini.

“Selepas lebih lima kali percubaan, kami berjaya menemui teknik yang betul dan mula membiakkannya dengan teknik induk dipindahkan bersama de­ngan telur,” katanya di Akuarium Tunku Abdul Rahman semalam.

Menurutnya, kejayaan membiakkan beberapa spesies ikan itu secara konsisten diharapkan dapat mewujudkan satu sumber pendapatan baharu kepada pe­ngusaha-pengusaha ikan hiasan air masin.

“Telur ikan inggu mengambil masa tujuh hingga 14 hari untuk menjadi ikan dan sekurang-kurangnya lima bulan sebelum menjadi ikan induk yang boleh dijual sebagai ikan hiasan.

“Ikan ini mempunyai peminatnya yang tersendiri, malah harga­nya mencecah ratusan ringgit,” ujarnya.

Katanya, pasukan penyelidik FRI juga bersedia untuk menawarkan latihan kepada mereka yang berminat untuk mendalami teknik pembiakan ikan inggu.

“Sasaran kami adalah untuk mewujudkan sumber pendapatan baharu menerusi pembiakan ikan inggu kerana ia mempunyai masa depan yang cerah dalam industri ikan hiasan negara,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI