MARIANTO kini berbangga mengusahakan tanaman cili dan mempunyai tiga pekerja.

Dulu penagih, kini usahawan berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI

PETALING JAYA – Siapa me­nyangka bergelumang dengan najis dadah selama hampir dua dekad sejak berusia belasan tahun, namun takdir mengubah hidup apabila kini menjadi usahawan berjaya.

Lelaki yang dikenali sebagai Marianto, 43, berkata, sepanjang tempoh itu, pelbagai cerita memilukan dilalui termasuk tidak dapat menatap wajah orang tersayang ketika bapanya meninggal dunia berikutan berada di pusat serenti di Sungai Ruan, Pahang pada 2012.

“Memang susah untuk berpisah dengan dadah dalam sekelip mata, tetapi peristiwa kematian bapa menjadi titik permulaan kepada hijrah dalam hidup saya.

“Ketika berada di pusat sehenti, saya menerima perkhabaran ayah meninggal dunia. Saya berasa ralat kerana tidak dapat menguruskan jenazah ayah buat kali terakhir,” katanya kepada Kos­mo! semalam.

Lebih memilukan, Marianto mengetahui berita duka itu empat hari setelah bapanya me­ninggal dunia dan kejadian tersebut memberi kesan mendalam sehingga membuatkan dia tekad untuk berubah meninggalkan dadah yang merupakan musuh nombor satu negara.

Mengimbau kisah silamnya, Marianto memberitahu, dia mula berjinak dengan ganja semasa berusia 16 tahun ketika berada di bangku sekolah sebelum beralih kepada heroin dan dadah jenis sintetik lain.

SELAIN mengusahakan balat, Tahir turut berkongsi pengalaman menjadi bekas penagih dadah melalui ceramah di sekitar Kudat, Sabah.

Marianto bagaimanapun menarik nafas lega apabila dia didedahkan dengan projek pertanian semasa berada di pusat serenti dan memilih fertigasi cili sebagai bidang baharu untuk diceburi pada tahun 2016.

Mempunyai tiga pekerja, Marianto kini menjana pendapatan antara RM18,000 hingga RM20,000 semusim (enam bulan). Selain itu, Marianto turut membuka bengkel kenderaan sebagai pendapatan sampingan.

Turut berkongsi pengalaman sama adalah bekas penagih, Tahir, 51, yang kini menjadi usahawan ternakan balat atau timun laut di Kota Marudu, Sabah dan nelayan separuh masa.

Cerita Tahir, dia mula mengambil ganja sejak berusia lapan tahun iaitu sekitar 1978 dan bergelumang dengan bahan terlarang tersebut selama lebih 30 tahun .

“Saya dimasukkan ke pusat serenti di Papar, Sabah selama dua tahun selepas isteri sendiri membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana tidak mahu saya terjebak lagi dengan najis dadah ini.

“Sejak ditempatkan di pusat berkenaan, saya mula mengenal dan mendekati al-Quran. Itulah titik perubahan total dalam hidup saya,” ujarnya.

Tahir yang pernah digelar ‘Castello’ suatu ketika dulu berkata, sejak mengenali kalam Allah itu dia nekad untuk berubah menjadi insan berguna bukan sahaja kepada keluarga, malah untuk masyarakat.

“Selepas pulih sepenuhnya kira-kira tujuh tahun selepas ke­luar dari pusat serenti (padatahun 2018) saya mula menceburkan diri dalam bidang peternakan balat.

“Tak sangka hasil usaha gigih selama hampir tiga tahun ini membuah hasil lumayan. Saya memperoleh pendapatan hampir RM15,000 sebulan bergantung kepada permintaan dan harga semasa balat,” kata pe­nerima Anugerah Hijrah Peringkat Sabah itu.

Selain menjadi usahawan, Tahir turut aktif berkongsi pengalaman termasuk kisah hidupnya melalui ceramah dan dakwah di sekitar Kudat.

 

10,017 penagih pulih, sebahagian jadi usahawan berjaya

 

PETALING JAYA – Seramai 10,017 bekas penagih dadah kekal pulih selepas menjalani rawatan dan pemulihan bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sejak 2018.

Ketua Penolong Pengarah (Pemulihan Dalam Komuniti) AADK, Dr. Nazira Sadiron berkata, daripada jumlah itu, seramai 2,300 bergelar usahawan dan mempunyai perniagaan sendiri.

Kebanyakan mereka yang menjadi usahawan terdiri daripada bekas penagih yang pulih selepas menjalani rawatan dan pemulihan bersama AADK sama ada menerusi program pemulihan di institusi atau komuniti.

“Terdapat dua program rawatan dan pemulihan AADK iaitu di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) dan komuniti. Bagi rawatan dan pemulihan di Puspen, mereka ditempatkan selama dua tahun.

“Di Puspen, mereka didedahkan dengan program psikososial, rawatan perubatan, latihan kemahiran dan kerjaya serta pendekatan kerohanian dan keagamaan,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

DR. NAZIRA

Nazira memberitahu, klien yang ditempatkan di Puspen terdiri daripada mereka yang mempunyai ketagihan yang tinggi dan diperintah oleh mahkamah di bawah Akta Penagih Dadah (Ra­watan dan Pemulihan) 1983.

“Bagi rawatan dalam komuniti, klien tinggal di rumah dan menjalani rawatan secara berkala menerusi janji temu.

“Kita menggunakan pendekatan i-Pulih merangkumi bimbi­ngan kaunseling, psikopendidikan, rawatan kesihatan, psikospiritual, latihan kemahiran vokasional, sosial dan rekreasi, pembentukan fizikal dan disiplin serta integrasi masyarakat,” ujarnya.

Ketika ini, terdapat seramai 48,298 klien terdiri daripada 46,144 lelaki dan 2,061 wanita masih menjalani rawatan dalam komuniti, manakala 7,000 lagi ditempatkan di 30 buah Puspen di seluruh negara

“Lebih membanggakan, indeks kepulihan ketika ini adalah 63 peratus melepasi sasaran yang telah ditetapkan di peringkat antarabangsa 60 peratus.

“Sasaran kita untuk mencapai 75 peratus pada 2025.

“Indeks kepulihan diukur me­lalui pelbagai indikator antara­nya ujian urin, pekerjaan dan integrasi bersama masyarakat,” kata beliau. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN