fbpx

Anjing pengesan bantu operasi cari warga emas hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anjing pengesan bomba digunakan bagi membantu operasi mencari seorang warga emas dipercayai hilang di Tanjung Tualang dekat Kampar hari ini.

KAMPAR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang warga emas dari Kampung Ayer Papan, Tanjung Tualang dekat sini yang dilaporkan hilang kelmarin, diteruskan hari ini dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9).

Anjing pengesan yang diberikan nama Murphy dan Buddy itu dari Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah, Mohd. Norshah Shahri berkata, radius pencarian hari ini meliputi kawasan seluas enam kilometer iaitu lokasi terakhir mangsa dilihat berhampiran kilang kelapa sawit.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada sebarang petunjuk baru diperolehi sejak SAR dimulakan semalam.

“Operasi hari ini dibantu Unit K9 bermula dari rumah mangsa di Kampung Air Panas ke kawasan ladang kelapa sawit melalui laluan denai seluas enam kilometer.

“Ketika ini pasukan pencari dengan kekuatan 48 anggota termasuk daripada pelbagai agensi penyelamat lain,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Bomba di Kampung Ayer Papan, Tanjung Tualang di sini hari ini.

Mangsa, Md. Isa Panjang Abdullah, 86, dilaporkan keluar bersendirian dengan berjalan kaki kira-kira pukul 9 pagi kelmarin dan tidak pulang ke rumah sehingga hari ini.

Difahamkan, anak lelaki mangsa ada menjumpai sebelah selipar bapanya di kawasan kebun sawit berhampiran sebelum membuat laporan polis untuk bantuan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI