fbpx

Premis sayuran dikompaun cemar Sungai Remuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kakitangan LUAS bersama agensi berkaitan menjalankan pemantauan di lokasi terlibat.

SHAH ALAM – Sebuah premis pertanian sayur dikenakan kompaun selepas didapati menyebabkan pencemaran di Sungai Remok, Hulu Selangor di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, ini susulan siasatan dilakukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) ekoran aduan kekerohan di sungai tersebut, kelmarin.

Katanya, hasil penelitian LUAS juga mendapati terdapat pelepasan bahan pencemar (kekeruhan) daripada sebuah kolam takungan di kawasan tersebut pada jarak kurang satu kilometer (km) yang mengalir terus ke Sg. Remok.

Jarak lokasi pencemaran ke muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Batang Kali dianggarkan 5.15 km namun tiada henti tugas operasi LRA dilaporkan.

“Pensampelan LUAS di lokasi tersebut bagi parameter kekeruhan adalah 20 Unit Kekeruhan Nefelometrik (NTU) dan jumlah pepejal terampai (TSS) adalah 18 milligrams per liter (mg/L) semasa keadaan biasa tanpa hujan.

“Bagaimanapun, kawasan permukaan kerja tanah yang terdedah ini berisiko kepada peningkatan kekeruhan yang tinggi apabila hujan lebat jika tiada langkah-langkah kawalan sedimen serta perangkap kelodak yang efisien,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, semakan aktiviti kerja tanah bagi tujuan pertanian seluas kira-kira 8 hektar itu mendapati memperoleh kelulusan Kebenaran Merancang (KM) daripada pihak MDHS bagi tujuan tapak penanaman sayur berserta struktur rumah hijau sementara, namun tiada kelulusan pelan kerja tanah.

Jelas Loy Sian, tindakan kompaun dikenakan mengikut Seksyen 70 A(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) telah dikeluarkan MDHS kepada premis tersebut kerana menjalankan kerja tanah tanpa kebenaran.

“LUAS telah mengeluarkan Perintah Perlindungan Air berdasarkan Seksyen 122 (1) Enakmen LUAS 1999 kepada pihak premis untuk menghentikan serta-merta sebarang pelepasan bahan pencemar tersebut ke dalam Sungai Remok.

“Selain, pihak premis juga diarahkan menyediakan langkah-langkah kawalan pencemaran sedimen dan kelodak yang efisien berikutan risiko kepada kuantiti dan kualiti air terjejas akibat kekeruhan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, kegagalan pematuhan perintah itu boleh menyebabkan didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri digesa menyiasat punca sebenar pencemaran di Sungai Remuk sehingga menyebabkan air sungai bertukar keruh terutama setiap kali hujan lebat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI