fbpx

PATI lemas berenang masuk Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat salah seorang PATI yang lemas ketika menyusup masuk negara ini.

KUALA LANGAT – Tindakan nekad sebahagian daripada 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk negara ini dengan berenang sejauh 100 meter (m) melawan ombak besar pada awal Subuh berakhir tragedi dengan dua daripadanya lemas, hari ini.

Kedua-dua mayat PATI lelaki itu berusia 30 hingga 40 tahun ditemui di antara pukul 6.50 dan 9.30 pagi tadi di Pantai Kelanang dan Morib.

Jarak antara dua lokasi penemuan mayat itu dianggarkan kira-kira enam kilometer.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, pihaknya terlebih dahulu menerima maklumat awam berhubung pendaratan lebih kurang 20 orang dipercayai PATI di Pantai Kelanang.

Katanya, susulan itu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Bridged Tengah bergegas ke lokasi kejadian sebelum menahan 14 PATI termasuk tujuh wanita dipercayai warga Indonesia.

“Kesemua mereka yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri berusia 30 hingga 40 itu ditahan sekitar perkampungan Kelanang dan kebun sawit berhampiran Pantai Kelanang.

“Mereka dipercayai memasuki perairan Malaysia melalui Tanjung Balai di Indonesia dengan bot tongkang yang dinaiki lebih kurang 40 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, hasil siasatan terhadap PATI yang ditangkap itu memaklumkan bot mereka dipukul ombak dan ribut ketika menghampir pantai tersebut.

Jelas Ahmad Ridhwan, tekong bot kemudiannya telah meminta PATI turun dan berenang ke pantai sejauh kira-kira 80 hingga 100m.

“Berdasarkan siasatan juga mendapati sebahagian daripada mereka telah terjun ke laut dalam keadaan ribut dan ombak besar.

“Operasi mengesan dan menangkap PATI yang dipercayai masih bersembunyi sekitar kawasan berhampiran selain mencari dan menyelamat mangsa-mangsa lain yang berkemungkinan lemas,”ujarnya.

Ini melibatkan kira-kira 50 anggota termasuk pegawai dari pelbagai agensi termasuk IPD Kuala Langat, PGA Briged Tengah, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Malaysia, Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Udara.

Beliau memberitahu, kesemua PATI yang ditangkap telah dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjong Sepat untuk saringan Covid-19 sebelum dibawa ke IPD Kuala Langat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. -K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI