PETALING JAYA – “Untuk meraih kejayaan itu sukar, namun mengekalkan kejayaan jauh lebih sukar!”
Demikian tegas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki ketika meraikan kejayaan cemerlang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba (TGB) di Jasin, Melaka kelmarin.
Menurut beliau, MRSM TGB bukan sahaja muncul sebagai MRSM terbaik, malah turut mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai sekolah terbaik di Malaysia bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
“Ini satu pencapaian yang luar biasa dan membanggakan. Namun cabaran sebenar adalah untuk memastikan kecemerlangan ini dapat dikekalkan pada masa akan datang,” katanya.
Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM650,000 yang diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi tujuan penambahbaikan prasarana dan fasiliti maktab berkenaan.
Katanya, peruntukan itu merupakan insentif kepada kecemerlangan yang telah ditunjukkan oleh warga MRSM TGB yang kini berusia 45 tahun.
Beliau turut memuji komitmen padu semua pihak yang menjadi tulang belakang kejayaan tersebut.
“Melihat sendiri iltizam pengurusan, guru, Ibu Bapa Muafakat, staf sokongan termasuk penyelia asrama, penyedia makanan, pekerja pembersihan serta pengawal keselamatan, saya yakin MRSM TGB mampu mengulangi kejayaan ini pada masa depan,” ujarnya.
Tambah beliau, kejayaan itu membuktikan ekosistem pendidikan yang holistik dan kerjasama semua pihak mampu melahirkan pelajar cemerlang serta berdaya saing di peringkat tertinggi. – KOSMO! ONLINE














