fbpx

Pengurus pusat asuhan kasari kanak-kanak OKU ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar rakaman CCTV kejadian seorang wanita mengasari kanak-kanak OKU di sebuah pusat asuhan di Ampang.

AMPANG JAYA – Tindakan seorang wanita mengasari seorang kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) di sebuah pusat asuhan di Bandar Baru Ampang di sini terbalas apabila dia akhirnya ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, wanita berkenaan yang juga merupakan warganegara asing berusia 51 tahun ditahan polis di pekarangan Pejabat Siasatan Seksual Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira pukul 1.50 petang.

“Tangkapan dibuat ke atas wanita berkenaan susulan satu laporan polis yang diterima daripada ayah mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun setelah dia mendapati ada kesan lebam pada bahu kiri dan kedua-dua belah mata anaknya yang berusia 6 tahun 9 bulan.

“Salah seorang cikgu di situ memaklumkan kepada bapa mangsa bahawa anaknya telah menghantukkan kepala pada meja kerana tidak mahu makan mengakibatkan lelaki itu curiga dan mahu memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, semakan CCTV mendapati suspek telah bertindak agak kasar kepada mangsa apabila kanak-kanak tersebut mengelak untuk makan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek yang ditahan mendapati pas lawatan miliknya disyaki telah tamat tempoh lebih kurang 1 tahun 3 bulan dan dia kini di dalam tahanan reman sehingga 5 Oktober ini bagi membantu siasatan.

“Pusat asuhan berkenaan dikesan telah beroperasi selama tujuh tahun dan semakan mendapati status lesennya didapati telah tamat tempoh selama dua bulan dan pengesahan lanjut akan dibuat kemudian,” ujar beliau.

Tambah beliau, suspek telah menggajikan tiga orang pekerja warga tempatan dan mengasuh tujuh orang kanak-kanak termasuk mangsa yang kesemuanya berstatus OKU.

“Siasatan berhubung kejadian dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian kanak-kanak dan Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1952 iaitu tinggal lebih masa dan tiada atau pas sosial tamat tempoh,” tegas beliau.

Terdahulu, Kosmo! Online hari ini melaporkan seorang pengurus di sebuah pusat intervensi di Ampang didakwa mencederakan seorang kanak-kanak autistik hingga menyebabkan mangsa mengalami lebam di beberapa bahagian muka serta anggota badannya.

Turut tular adalah satu video rakaman CCTV kejadian berdurasi 47 saat memaparkan tindakan suspek mengasari mangsa yang mendapat kecaman daripada pengguna media sosial.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI