fbpx

Kedudukan kewangan kerajaan dijangka bertambah baik 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Peruntukan pembangunan kerajaan akan lebih bertumpu kepada projek sambungan dengan ruang untuk melaksanakan projek pembangunan baharu amat terhad memandangkan keperluan yang amat besar untuk melindungi nyawa dan kehidupan pada tahun 2020 dan 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keadaan tersebut dijangka berterusan sehingga tahun hadapan dengan kedudukan kewangan kerajaan dijangka akan bertambah baik pada tahun 2023.

Beliau berkata, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi mampan serta pengagihan peluang dan hasil lebih saksama, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kali ini memperkenalkan beberapa pembaharuan dengan kerajaan akan mengambil pendekatan keseluruhan negara melibatkan seluruh jentera meliputi agensi kerajaan, industri serta masyarakat.

“Tujuannya bukanlah untuk menjana kekayaan negara semata-mata sebaliknya menangani cabaran struktur ekonomi, menyediakan tenaga kerja masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

“Ia juga bagi memastikan pelaksanaan kaedah yang lebih berkesan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya semasa membentangkan usul RMK-12 yang bertema Makmur, Inklusif dan Mampan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut berkongsi beberapa matlamat utama dalam RMK-12 yang menyasar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021 hingga 2025 selain pendapatan purata isi rumah dianggarkan mencapai kira-kira RM10,000 sebulan pada 2025.

Selain itu, RMK-12 menyasar jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5 manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada tahun 2025 selain pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005 sejajar Perjanjian Paris 2015. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI