fbpx

Sarawak United mahu lepas geram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN-pasukan yang layak bertanding pada saingan Piala Malaysia 2021.

SELEPAS hasrat untuk menjua­rai Liga Premier tidak tertunai, Sarawak United kini mengalih perhatian ke arah saingan Piala Malaysia yang akan membuka tirai secara rasmi 26 September ini.

Pada saingan Piala Malaysia kali ini, skuad kendalian E. Elavarasan itu diundi dalam Kumpulan A bersama tiga pasukan Liga Super iaitu Penang FC, KL City FC dan Sri Pahang.

Justeru, pemain sayap skuad The Golden Hornbill, S. Chanturu menggesa rakan-rakan sepasukan agar melupakan kekecewaan dalam saingan Liga Premier seterusnya memberikan sepenuh perhatian bagi menghadapi cabaran Piala Malaysia.

Biarpun masih berstatus pa­sukan Liga Premier, namun bekas pemain Kelantan itu percaya dengan kemampuan rakan-rakan sepasukan untuk memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan yang memiliki reputasi lebih baik.

“Kami sentiasa berada dalam keadaan terbaik sejak perlawanan pertama liga musim ini. Bagaimanapun, kami seolah-olah hilang fokus dalam tiga perlawanan terakhir liga sebelum ini.

“Apa yang pasti, Sarawak akan cuba lakukan yang terbaik bagi memberi saingan kepada pasukan-pasukan lain pada saingan Piala Malaysia. Kami mahu layak sejauh yang boleh pada edisi kali ini,” kata Chanturu.

CHANTURU (kiri) menggesa rakan-rakan sepasukan memberikan sepenuh perhatian bagi menghadapi cabaran Piala Malaysia yang bermula Ahad ini.

Sementara itu, kapten Sarawak United, Taylor Reagan berjanji untuk memastikan mereka dapat menampilkan aksi membanggakan pada kejohanan paling berprestij dalam sejarah bola sepak tanah air itu.

“Kami memang berada dalam kumpulan yang sukar kerana ketiga-tiga pasukan memiliki kemampuan serta sejarah tersen­diri. Bagaimanapun, kami ada ke­lebihan kerana akan turun tanpa sebarang tekanan berbanding mereka,” ujarnya.

Sarawak United bakal memulakan cabaran dalam saingan Piala Malaysia 2021 Ahad ini apabila dijadualkan menentang Pe­nang FC pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI