fbpx

Elak risiko hamil di era pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

BERDASARKAN kajian dikeluarkan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), terdapat sekitar tujuh juta kehamilan yang tidak diingini di seluruh dunia akibat pandemik koronavirus.

Keadaan tersebut pastinya membimbangkan banyak pihak. Lebih-lebih lagi apabila golongan ini merupakan antara golongan berisiko dijangkiti Covid-19 selain warga emas dan kanak-kanak.

Mengambil contoh di negara ini sahaja, menurut data yang direkodkan dari Mac 2020 sehingga Jun lalu, seramai 70 wanita hamil disahkan meninggal dunia disebabkan komplikasi akibat jangkitan Covid-19.

Selain itu, sebanyak 3,396 kes positif membabitkan golongan tersebut. Disebabkan itu juga, pakar-pakar kesihatan sedunia menasihatkan supaya individu disaran untuk merancang kehamilan ketika di musim pandemik ini.

Begitupun, tidak menjadi satu kesalahan bagi individu yang merancang untuk hamil ketika di musim pandemik ini.

Dr. Patricia Lim

Menurut Pakar Perunding Sakit Puan di Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr. Patricia Lim Su-Lyn, bagi wanita yang ingin hamil ketika pandemik, perlu memastikan dia dan suami sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

Katanya, wanita hamil lebih berisiko tinggi mendapat simptom lebih teruk terutamanya pada pengakhiran trimester kedua dan ketiga.

“Keadaan mungklin lebih teruk jika ibu mengandung tersebut mempunyai penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi.

“Sekiranya dijangkiti, mereka berisiko untuk menerima jangkitan paru-paru teruk sehingga memerlukan bantuan oksigen, kejadian darah beku dalam badan yang boleh menyebabkan strok dan kematian.

“Tambahan pula, ada bayi dalam rahim boleh menyebabkan kesukaran untuk membantu meningkatkan kadar oksigen dalam badan ibu mengandung. Ini boleh menyebabkan kelahiran bayi pramatang untuk membantu dalam ventilasi ibu tersebut,” katanya.

Disebabkan itu juga, sebagai langkah awal, pasangan perlu melengkapkan diri dengan dua dos vaksinasi.

Bagaimanapun, lengkap divaksin tidak menjadikan individu itu kebal dan tidak berisiko untuk dijangkiti.

“Vaksin Covid-19 mempunyai kadar keberkesanan sebanyak 90 peratus. Ini bermaksud, ia dapat mengurangkan kes simptom lebih teruk seperti kes-kes yang memerlukan kemasukan hospital, ICU (Unit Rawatan Rapi), keperluan bantuan oksigen terutamanya dalam kategori empat dan lima.

“Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, golongan ini perlu mengelakkan diri daripada keluar rumah tanpa sebarang keperluan,”
ujarnya.

Begitupun, jika memang benar-benar perlu, Dr. Patricia menyarankan agar mereka memakai pelitup muka dua lapis dan mengamalkan penggunaan cecair pembasmi kuman, selain mengelakkan diri ke tempat sesak dan tertutup terutamanya yang tidak mempunyai ventilasi yang baik.

Ujarnya, selain daripada mendapatkan vaksin Covid-19 dan langkah pencegahan seperti di atas, mereka juga perlu patuh dan mengikuti janji temu doktor untuk pemeriksaan ibu mengandung dan bayi setiap bulan atau minggu yang ditetapkan.

Mereka juga kata Dr. Patricia lagi, perlu mendapatkan vaksin lain seperti influenza yang juga penting bagi ibu mangandung.

“Tambahan pula, mereka juga perlu memastikan cukup pengambilan makanan berkhasiat dan air setiap hari.

“Amalkan aktiviti sihat seperti senaman ringan dan tumpuan kepada kesihatan mental juga,” jelasnya.

Sementara itu, bagi wanita yang merancang untuk hamil pula, mereka perlu mula mengambil vitamin asid folik sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum memulakan proses kehamilan.

Bagi wanita yang mempunyai masalah comorbid seperti obesiti, kencing manis, darah tinggi atau masalah kesihatan lain, sila dapatkan
nasihat doktor masing-masing.

Ini untuk memastikan penyakit yang sedia ada pada mereka sudah dapat dikawal dan selamat untuk mengandung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI