fbpx
SITI SYARAH menunjukkan produk sulung keluaran syarikatnya yang telah mendapat sambutan baik daripada pelanggan.

Tekanan kerja ilhamkan idea bisnes kepada Siti Syarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Impak pandemik Covid-19 sering dikaitkan dengan peniaga kecil dan sederhana (PKS) dan mereka sering menjadi kumpulan sasaran oleh pelbagai agensi kerajaan dan ins­titusi kewangan untuk dibantu.

Sebenarnya, golongan profesional juga terjejas kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengekang pengoperasian harian sehingga ada yang terbeban dengan kelewatan pelbagai kertas cadangan projek, transaksi pembelian jualan serta pelbagai kes berkaitan perundangan.

Ada juga yang terpaksa menutup operasi, mengurangkan jumlah tenaga kerja dan sebilangan kecilnya juga ada yang terpaksa berniaga makanan dan minuman di tepi jalan serta menceburi bidang perniagaan lain untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Persekitaran mencabar itu te­lah memberi suntikan baharu kepada seorang pemilik firma guaman, Siti Syarah Mohd. Sudin, 36, untuk melibatkan diri dalam perniagaan produk minuman berkhasiat, Khurma Milk Shake yang telah berada di pasaran sejak suku kedua tahun ini.

Usahawan yang terlibat dalam bidang perundangan sejak tahun 2011 itu melihat cabaran dalam industri tersebut semakin ketara, tambahan pula dengan pandemik wabak maut itu memberi tekanan kepada dirinya berdepan dengan pelbagai ke­renah pe­langgan dan hal-hal lain yang berkaitan.

Ikhtiar diri dengan mencari minuman kesihatan untuk membantu mengurangkan tekanan kerjanya sebelum ini telah memberi idea kepada wanita ini untuk berkongsi ilmu dan manfaat kepada pengguna di pasaran.

“Tekanan kerja di kala pandemik begitu memuncak sehingga saya masih lagi mengendalikan kes-kes penting dan menerima panggilan daripada pelanggan ketika berada di wad bersalin iaitu sejam sebelum menjalani pembedahan untuk melahirkan anak.

“Biasanya seseorang wanita itu perlu berada dalam keadaan yang tenang dan selesa untuk menjalani pembedahan melahirkan anak, tapi lain pula dengan diri saya yang masih melayan kerenah pelanggan untuk menyelesaikan masalah perunda­ngan berkaitan hal-hal hartanah mereka,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Siti Syarah yang juga ­pengasas AdvoBrands Malaysia yang mengeluarkan produk Khurma Milk Shake berkata, bersandarkan pengalaman mencabar tersebut, beliau mula membangunkan produk Khurma Milk Shake melalui kajian dan pembangunan selama tiga bulan.

Minuman ­berasaskan kurma dan bahan makanan sunah se­perti kismis dan safron itu membantu me­ningkatkan tahap kesihatan pengguna seperti mengurangkan tekanan, me­ningkatkan kecergasan otak, merawat kesihatan kulit dan membantu sistem penghadaman.

Produk yang dijual pada harga RM29.90 sekotak itu bersesuaian untuk diminum oleh semua pe­ringkat umur.

“Sehingga kini, jualan telah mencecah kepada 10,000 kotak sebulan dan kami mengunjurkan jumlah tersebut akan bertambah kepada 100,000 kotak pada tahun depan,” jelasnya.

Wanita yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan memiliki pelbagai pengalaman berniaga sejak di universiti itu kini disokong oleh rangkaian ejennya yang seramai 200 orang di seluruh negara.

Ibu kepada dua orang anak itu juga mahu menembusi rangkaian peruncitan di pasar raya terkenal bagi meningkatkan lagi jualannya bagi jangka masa panjang.

Siti Syarah melihat cabang perniagaan baharu ini sebagai nilai tambah kepada kepuasan dirinya untuk membantu lebih ramai pelanggan yang berdepan dengan pelbagai tekanan yang dihadapi semasa pandemik ini.

Lebih menarik, perkongsian rezeki membantu mereka yang terjejas pendapatan kerana dibuang kerja atau masih menganggur juga memberi semangat untuk dirinya terus aktif memberi tunjuk ajar kepada mereka yang berminat berniaga.

Bagaimanapun, disiplin dalam kerjaya profesional selama ini memberi sedikit kekangan pada dirinya untuk memaksimumkan platform digital bagi mempromosikan produk kepada umum seperti usahawan lain.

“Sebagai alternatif, saya menggunakan rangkaian pelanggan sedia ada dengan mengedarkan sampel percuma kepada mereka untuk mencuba produk minuman berkhasiat ini dan juga kepada pelanggan baharu.

“Berdasarkan testimoni pe­langgan, mereka berpuas hati dengan kualiti produk dan dari situ, ramai yang telah menjadi pengguna setia Khurma Milk Shake,” jelasnya.

Siti Syarah optimis terhadap cabang perniagaan baharu itu bakal memberi pulangan tambahan sehingga 50 peratus kepada rangkaian perniagaan sekali gus dapat mengimbangi hasil daripada perniagaan terasnya.

Pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang guaman tidak memberi masalah besar kepadanya untuk mengoperasikan penjualan produk minuman kesihatan itu kerana memiliki sentuhan yang lebih unik dan mampu memberi kepuasan dari segi mengurangkan tekanan kerja.

Dalam masa sama, beliau juga teruja dapat membantu menyelesaikan masalah kesihatan pe­langgan melalui minuman yang dibangunkannya itu.

Bersandarkan permintaan yang semakin bertambah, syarikat bakal memperkenalkan dua lagi perisa minuman baharu iaitu kurma delima dan juga habbatussauda akhir
tahun ini.

POPULAR