SEREMBAN – Laporan bedah siasat yang dijalankan mendapati terdapat tekanan pada leher bayi lelaki berusia tujuh bulan yang ditemui meninggal dunia ketika tidur dalam buaian di rumah pengasuhnya di Bandar Sri Sendayan di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, perkara itu disahkan oleh Dr. Akma Nurain Fairuz Mahamad Arif yang menjalankan bedah siasat di Unit Forensik Hospital Rembau pada pukul 11 pagi semalam dan selesai 4 petang hari yang sama.
“Hasil bedah siasat mengesahkan terdapat tekanan di leher mangsa (bayi tujuh bulan) serta menunggu keputusan ujian lanjutan.
“Berdasarkan siasatan, pengasuh bayi itu tidak berdaftar dgn mana-mana jabatan dan mengambil upah menjaga kanak-kanak secara persendirian,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Menurut Azahar, pengasuh wanita berusia 38 tahun itu telah direman enam hari bermula semalam hingga 25 Mei depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Semalam, media melaporkan bayi lelaki berusia tujuh bulan tersebut dipercayai tidak sedarkan diri ketika berada di bawah jagaan pengasuh berkenaan di rumahnya di Bandar Sri Sendayan di sini, Selasa lalu.
Laporan polis diterima menyatakan ibu mangsa berusia 30 tahun menerima panggilan daripada pengasuh memaklumkan bayinya yang berusia berusia tujuh bulan tidak sedarkan diri.
Mangsa kemudian telah dibawa ke klinik swasta berhampiran di Bandar Sri Sendayan sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk rawatan lanjut namun, bayi itu disahkan meninggal dunia selepas usaha bantuan resusitasi kardiopulmonari dilakukan. – KOSMO! ONLINE














