fbpx

Shiha tak gusar dituduh tiru K-pop

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHIHA ZIKIR

LEBIH 15 tahun menggenggam profil sebagai anak seni, perjalanan karier penyanyi bersuara lunak Shiha Zikir sudah cukup kukuh, namun harus diakui, populariti yang ditempa masih belum sampai ke puncak.

Mujurlah, sejak dari dahulu si pemilik nama lengkap Nurshiha Mohd. Zikir itu tidak meletakkan populariti sebagai buruan utama saat melangkah ke dalam industri. Sasaran utama Shiha, cukuplah jika pintu rezeki terbentang luas buatnya.

“Sebenarnya sewaktu masuk dalam industri, sebab pertama adalah kerana minat dan jiwa terhadap seni suara. Kedua, inilah tempatnya saya mencari rezeki demi menjaga ibu dan keluarga.

“Saya sangat bersyukur sebab apabila bekerja diniatkan untuk cari rezeki, orang sekeliling tetap memandang bakat dan kualiti, bukannya populariti semata-mata. Ramai penerbit dan pengarah percaya bakat saya.

“Nak kata saya popular, memang tak langsung. Dari awal masuk industri, bukan itu yang saya kejar. Tetapi orang boleh nampak dan menghargai bakat saya, itu yang paling saya syukuri,” katanya ketika dihubungi HibGlam baru-baru ini.

TIADA amalan kerja tangkap muat dalam soal pemilihan karya, Shiha teruja apabila single Irama berjaya menampilkan sisi karakter muziknya yang berbeza.

Penyampai radio

Bukti terkini yang cuba digambarkan Shiha ialah tawaran menyertai segmen ERA D’Boyz di stesen radio Era FM bersama penyampai Radin Affendi dan Danial Zain.

Teruja berbicara mengenai sayap baharu kariernya, penyanyi berusia 34 tahun itu mahu menjelaskan kekeliruan ramai bahawa dia bukanlah penyampai tetap di stesen berkenaan.

“Saya sendiri pun tak tahu sampai bila akan bertugas sebagai penyampai di situ sebab masih ada penggambaran yang tergendala iaitu untuk dua buah drama bersiri.

“Penampilan saya dalam segmen berkenaan terjadi selepas menyertai sesi siaran langsung dalam Instagram bersama Radin dan Danial. Saya usik mereka dan tak sangka dicabar untuk betul-betul jadi penyampai.

“Sejujurnya saya sangat seronok sebab dapat belajar benda baharu. Lagipun saya memang sejenis suka bercakap dan aktif, jadi terima sajalah cabaran mereka.

“Dari situ juga, saya dapat banyak input berguna bagaimana nak bergaul dengan orang lain dan belajar menjadi hos atau penyampai radio dengan baik,” jelasnya panjang lebar.

Selain ‘kerjaya’ di stesen radio, Shiha juga ada buah tangan terbaharu untuk peminat apabila meluncurkan single terkini berjudul Irama, setahun selepas kali terakhir muncul dengan lagu AEWO.

Bercerita lanjut tentang Irama, Shiha menyifatkan karya berkenaan menyerlahkan sisinya yang gemar mencuba dan meneroka elemen baharu dalam muzik.

BIARPUN bukan bergelar penyampai tetap di radio Era FM, Shiha menyifatkan peluang berpadu tenaga bersama Radin dan Danial dalam ERA D’Boyz sebagai lembaran baharu untuk meneroka pengalaman bermakna.

Dia bahkan sedikit pun tidak gusar andainya lagu berkenaan didakwa meniru mana-mana karya luar seperti K-pop kerana berpegang konsep, mengikut arus muzik semasa.

“Melodi lagu Irama sangat segar dan merupakan satu kelainan buat saya sebab ada sedikit suntikan elemen dangdut. Ini merupakan lagu pertama saya yang berentak pop reggaeton.

“Kalau orang kata tiru K-pop, saya tak risau sebab. Bagi saya, mana-mana peminat akan berasa gembira sekiranya muzik yang diminati diketengahkan. Ini pun menandakan saya menghargai setiap jenis muzik,” jelasnya.

Penyanyi yang diberi jolokan Rossa Malaysia itu juga bersyukur kerana penerimaan Irama bukan hanya tertumpu di negara sendiri, bahkan sudah menular kepada peminat di beberapa negara jiran seperti Brunei, Singapura dan akan datang, Indonesia.

“Ini tandanya pendengar menyokong dan mempercayai karya yang saya keluarkan. Pada saya, ini juga adalah pencapaian apabila khalayak sudi mendengar karya baharu daripada saya.

“Kayu ukur kejayaan tidak semata-mata terletak pada pencapaian berada di carta nombor satu. Apabila ada yang sudi dengar dan beri respons positif, itu pun sudah membuatkan saya berasa usaha keras bekerja telah terbayar,” tuturnya.

MENERUSI single terbaharu berjudul, Irama, Shiha buat pertama kali menyuntik membawakan rentak pop reggaeton dengan sedikit suntikan elemen dangdut.

Ditebak tentang keberanian mengeluarkan karya baharu semasa musim pandemik yang menyaksikan kelumpuhan sektor industri hiburan gara-gara tidak dapat menjana pendapatan seperti biasa, Shiha ada alasan munasabah untuk dimengertikan.

Dia nekad melancarkan lagu Irama yang disifatkan mampu menjadi pengubat kesedihan ramai orang tatkala mendepani hidup dalam fasa pandemik yang serba mencabar dari segi fizikal dan mental.

“Saya seorang yang sangat sensitif dengan keadaan semasa memandangkan semua orang melalui kepayahan yang sama iaitu bergelut melawan Covid-19.

“Saya nekad keluarkan lagu ini sebab mahu sebarkan kegembiraan kepada pendengar. Sekurang-kurangnya bila orang dengar, mereka boleh keluar daripada situasi yang negatif.

“Pada saya, kita yang masih dipinjamkan nyawa untuk bernafas sehingga ke hari ini seharusnya melangkah ke depan dan positif melakukan sesuatu demi membahagiakan orang lain. Jadi saya cuba melakukannya menerusi Irama,” katanya.

TUMPANG gembira melihat ramai rakan artis mula melakukan penghijrahan dan perubahan dari segi imej, Shiha juga mengharapkan peminat mendoakan yang baik-baik buat dirinya.

 

Doa, perubahan

Umum sedia tahu, sejak kebelakangan ini atmosfera dunia hiburan banyak diwarnai dengan berita positif membabitkan perubahan ramai artis yang berhijrah dan mendalami ilmu agama.

Shiha juga pernah mencuri tumpuan peminat apabila pernah menyentuh tentang isu tersebut dalam satu sesi siaran langsung Instagram.

Biarpun begitu, dia enggan berbicara lanjut tentang hal kerohanian yang disifatkan sangat sensitif.

“Kalau boleh, saya tak nak komen lebih sebab kita tak tahu apa akan jadi pada masa depan. Hati kita Tuhan yang pegang dan sifatnya berbolak-balik.

“Cuma harapan dan keazaman untuk jadi lebih baik dari sebelum ini memang tinggi. Saya nak jadi orang yang lebih baik sebab impikan pengakhiran hidup yang baik. Doakan saya,” ujarnya ringkas menggulung bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI