PENGALAMAN makan sambil menikmati keindahan alam semula jadi yang menghijau serta aliran air sungai di kaki sukar dilupakan sesiapa sahaja yang pernah menikmatinya.
Ia boleh dinikmati apabila berkunjung ke Bbq Lamb KL Kemensah, Ampang, Selangor yang menjanjikan keunikan tersendiri.
Selain menikmati juadah sambil merendam kaki dalam sungai, pengunjung juga disajikan dengan menu yang lazat dan lain daripada yang lain.
——————————————————————————————————-
MENIKMATI makanan enak sambil kaki direndam dalam air sungai yang mengalir nyaman, ditambah dengan suasana alam semula jadi yang sangat menenangkan membuatkan orang ramai tidak mahu melepaskan peluang merasai pengalaman unik itu.
Pengunjung bukan sahaja dapat mengisi perut dengan juadah lazat, tetapi pada masa sama dapat menenangkan fikiran dan bersantai bersama sahabat handai atau keluarga bagi menyegarkan kembali badan selepas kepenatan bekerja.
Sehubungan itu, tidak hairanlah Bbq Lamb KL Kemensah menjadi lokasi cukup popular dalam kalangan pengunjung tempatan mahupun pelancong dari luar negara kerana menawarkan pengalaman yang sangat menarik.

Menurut pemiliknya, Mimie Iberahim atau lebih dikenali sebagai MeM, Bbq Lamb KL Kemensah telah beroperasi sejak tahun 2017 yang berkonsepkan makan dalam sungai dengan berlatar belakang keindahan alam semula jadi.
“Kami mengetengahkan menu utama berasaskan panggang dan salai dengan menggunakan kayu api asli tanpa bahan kimia yang dibakar di dalam rumah asap diperbuat daripada bata tanah liat.
“Justeru, daging yang dimasak lebih enak dengan aroma kayu api, lembut dan manis,” katanya yang menjalankan perniagaan tersebut bersama suami dan dibantu oleh anak-anak.
Jelasnya, terdapat lebih 10 hidangan yang ditawarkan di situ seperti set aneka daging, makanan laut, ayam kampung, king crab, udang kara, ayam belanda, burung dan set vegetarian.
Sebagai contoh, untuk set aneka daging terdapat daging lembu batang pinang, itik, kambing dan ayam dalam satu hidangan.
Selain itu, set makanan laut pula menghidangkan ikan salmon, ketam kulit lembut, sotong dan udang galah.
“Sebelum dipanggang atau disalai, daging-daging tersebut akan diperap dengan bahan istimewa sekitar sejam dan ke atas bergantung kepada jenis daging.

“Kemudian, ia dipanggang atau salai kira-kira 30 minit bergantung kepada jenis daging dan juga tahap kepanasan rumah asap,” ulas ibu kepada enam orang cahaya mata itu.
Tambahnya, pelanggan boleh memilih set untuk dua orang dewasa dan ke atas pada harga bermula RM90.
Sementara itu, bercerita lanjut mengenai idea yang mencetuskan konsep tersebut, Mimie memberitahu, ia berlaku secara tidak sengaja apabila anak-anaknya membawa turun meja dan kerusi untuk makan di dalam sungai.
“Kebetulan pada ketika itu, ada pelanggan melihat anak-anak saya makan di dalam sungai dan mereka membuat permintaan untuk makan di situ juga.
“Tempat ini boleh memuatkan sekitar 200 orang pada satu-satu masa, tetapi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ia perlu dikurangkan sebahagian daripada jumlah tersebut,” terangnya yang terlibat dalam keseluruhan operasi perniagaan tersebut.
Ini termasuklah membantu memasak hidangan makanan.

Ujarnya yang fasih bertutur tujuh bahasa itu, dia berhadapan cabaran apabila perlu menukar set meja kerusi daripada kayu pine itu setiap empat hingga enam bulan kerana rosak apabila berendam di dalam air terlalu lama.
Namun, semua itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk meneruskan perusahaan tersebut.
Katanya, dia menganggapnya sebagai asam garam dalam dunia perniagaan yang sememangnya penuh cabaran.














