fbpx
Orang ramai tidak melepaskan peluang beriadah bersama keluarga pada cuti hujung minggu lalu di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.- SHIDDIEQIIN ZON

Jangan bawa pulang Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK Jumaat lalu, orang Lembah Klang mula ‘dibebaskan’. Kerajaan mengisytiharkan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya sudah memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Di bawah fasa ini, antara kelonggaran yang diberikan adalah rentas daerah, dine-in dan aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama dibenarkan.

Pada hujung minggu lalu, semua lokasi di Lembah Klang dipenuhi orang ramai. Dari hutan, air terjun, bukit-bukau sehingga ke jalan raya, kedai makan, pusat beli-belah sesak dengan orang ramai.

Orang Lembah Klang betul-betul lepas geram. Yang bagusnya, apabila berada di luar rumah, rata-ratanya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Cuma penulis berharap agar orang ramai janganlah melepas geram di atas jalan raya. Pandulah berhati-hati.

Dalam tempoh dua hari penulis memandu di ibu kota, banyak disajikan dengan insiden kemalangan.

Syarat utama ‘kebebasan’ ini hanya untuk individu yang telah lengkap vaksinasi. Penerima vaksin Pfizer dan Sinovac.

Individu yang baru menerima AstraZeneca satu dos perlu bersabar lagi. Tempoh panjang sehingga sembilan minggu untuk dos kedua membuatkan ada yang menolak untuk menerima vaksin ini.

Seorang ahli keluarga penulis menerima suntikan dos pertama pada 3 September lalu, manakala dos kedua dijangka pada 5 November depan.

Melalui perkongsiannya, timbul polemik iaitu pada hari janji temu suntikan tersebut ramai dalam kalangan penerima menolak vaksin ini. Antara alasan tempoh lama untuk lengkapkan dua dos.

Mungkin dalam situasi ini, istilah ‘semua vaksin bagus’ kurang tepat. Bagi golongan peniaga, pekerja kedai makan yang mahu membuka premis, mereka terpaksa menunggu lebih dua bulan melakukannya.

Golongan ini juga memahami kepentingan perlindungan vaksin bagi mengurangkan risiko mendapat gejala teruk sehingga memerlukan rawatan di hospital atau kematian.

Jadi mereka tetap menolak dan sanggup menunggu janji temu baharu untuk vaksin jenis lain yang lebih ‘praktikal’.

Banyak sudah kelonggaran dibenarkan kerajaan dan orang ramai juga teruja selepas pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar baru-baru ini bahawa kebenaran rentas negeri akan diumumkan dalam masa terdekat.

Cuma penulis berharap sekiranya sempadan negeri dibuka nanti, tetaplah kekal berdisiplin. Kes penularan, kematian setiap hari masih tinggi. Bawalah pulang perasaan kasih sayang dan rindu sahaja. Jangan bawa pulang virus Covid-19.-K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN