fbpx

KDA FC naib juara Liga Super

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain Melaka United FC, Sony Norde mengasak dan cuba merampas bola daripada pemain pertahanan KDA FC, Rizal Ghazali dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam ini. 

ALOR SETAR – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sah bergelar naib juara Liga Super musim ini setelah cemerlang membenam Melaka United FC 4-1 di laman sendiri, sebentar tadi.

Pasukan pelawat diketuai anak jati Kedah, Khairul Helmi Johari selaku kapten bagaimanapun terlebih dahulu memberi ancaman kepada KDA FC.

Ia apabila hantaran lintang tonggak import dari Haiti, Sony Norde pada minit ke-4 ditanduk kemas gandingannya di bahagian penyerang, Giovane Gomes Da Silva ke gawang tuan rumah.

Penjaga gol KDA FC, Ifwat Akmal Chek Kassim nyata lebih bersedia apabila melonjak untuk menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi.

Serangan demi serangan dilancarkan Melaka United jelas tidak mendatangkan gentar kepada anak didik Aidil Sharin Sahak apabila mereka membalas dengan cara yang positif menerusi gol pembukaan oleh Kipre Tchetche pada minit ke-23.

Jaringan itu terhasil setelah pemain bertubuh sasa tersebut berjaya melepaskan rembatan kaki kiri sebaik menerima hantaran cantik dari Mohd. Fadzrul Danel Mohd. Nizam di bahagian tengah.

Hanya enam minit berselang, pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria menghadiahkan sepakan penalti kepada KDA FC apabila kapten mereka, Baddrol Bakhtiar dijatuhkan pemain pertahanan Melaka United, Mohamad Faris Shah Mohd. Rosli.

Kipre yang diberi tanggungjawab untuk menyempurnakan sepakan itu jelas tidak mensia-siakan peluang apabila mudah merembat ke kanan pintu gol lawan ketika penjaga gol berpengalaman Melaka United, Norazalan Razali melayangkan badannya ke kiri.

Memasuki babak kedua, Melaka United jelas menunjukkan betapa mereka tidak berputus asa untuk mencari jaringan dengan melakukan serangan secara berterusan.

Hasilnya pada minit ke-59, penyerang mereka dari Brazil, Adriano Aparecido Narcizo berjaya menjaringkan gol menerusi rembatan leret setelah dia berjaya meloloskan diri dalam kotak penalti tanpa dikawal mana-mana pemain tuan rumah.

Dalam keadaan hujan amat lebat, KDA FC kemudiannya tidak menunggu lama untuk membalas apabila hantaran leret Kipre, dikuis Baddrol untuk gol ketiga tuan rumah pada minit ke-66.

Kipre selepas itu sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Melaka United apabila percubaannya pada minit ke-68 gagal ditepis dengan kemas oleh Norazlan walaupun sudah melayangkan badan sebelum disambar pemain gantian, Mohammad Fayadh Mohd. Zulkifli untuk gol keempat KDA FC.

Selain Kipre, Ifwat Akmal nyata menjadi antara watak paling penting dalam kejayaan KDA FC malam ini apabila cemerlang menafikan tiga rembatan deras dilakukan pemain pelawat terdiri daripada Mohamad Fakhrullah Rosli, Sony serta Adriano pada minit ke-70, 73 dan 77.

Keputusan itu bermakna KDA FC berjaya menyamai pencapaian musim lepas untuk berada di kedudukan kedua Liga Super di belakang juara, JDT.

Kedudukan itu sekali gus melayakkan KDA FC untuk beraksi dalam Piala AFC musim depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI