fbpx

Gaya kemewahan Eropah moden berlatar kayu dan keemasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUANG tamu bagi dekorasi berkonsepkan Eropah moden banyak menggunakan susun atur perabot-perabot chesterfield dan dinding rekaan wainscoting dalam menyuntik gaya Barat itu.

SETIAP orang mempunyai cita rasa dan keinginan berbeza dalam memilih konsep dekorasi kediaman bagi merealisasikan rumah impian.

Salah satu konsep yang cukup popular pada masa kini ialah Eropah moden yang membawa suasana mewah dengan menggabungkan elemen tradisional dan kontemporari.

Apabila bercerita mengenai dekorasi berkonsep Eropah, elemen penting yang perlu digunakan untuk menonjolkannya ialah ukiran kayu dan pemasangan wainscoting di keseluruhan kediaman tersebut.

Berbeza dengan konsep Inggeris yang banyak menggunakan corak bunga-bungaan, Eropah menerapkan kemasan kayu dan kelihatan lebih polos dan mewah.

SUNTIKAN kemewahan terserlah pada ruang ringkas ini yang menerapkan penggunaan elemen-elemen yang gah.

Menurut seorang pereka dalaman, Norbaya Ismail, konsep Eropah kini telah sedikit sebanyak berubah daripada identiti asalnya dan tidak terlalu terikat dengan elemen tertentu.

“Pada asalnya, konsep Eropah mengutamakan warna putih dan kemasan berona emas, tetapi dengan sentuhan moden turut membolehkan pemilik mempelbagaikan sedikit dekorasi mengikut kemahuan mereka.

“Berbanding konsep dekorasi lain, konsep Eropah menelan kos lebih besar kerana banyak menggunakan elemen kayu selain material lain seperti marmar, seramik dan pencahayaan daripada chandelier,” katanya yang merupakan pengasas syarikat rekaan dalaman Skuad Dekorasi.

Tambah Norbaya, dekorasi konsep Eropah boleh menelan belanja sekitar RM300,000 untuk sebuah rumah, namun bergantung kepada saiz kediaman serta material digunakan.

Sehubungan itu, bagi pelanggan yang ingin mengurangkan kos tersebut, pihaknya akan mencadangkan penggunaan kayu bidding sebagai pengganti wainscoting kerana ia memberi kesan sama seperti menggunakan material wainscoting.

RUANG dapur termasuk kabinet didominasi kayu dengan pemegang berona keemasan.

Jelas wanita berasal dari Kuantan, Pahang itu, satu lagi elemen penting untuk menonjolkan konsep Eropah ialah decorative partition doors (pintu hiasan pemisah) yang mana ia berfungsi sebagai elemen dekorasi dan juga pintu pemisah bahagian lain.

Mengulas lanjut mengenai dekorasi berkonsep Eropah yang pernah dilaksanakan, Norbaya memberitahu, pihaknya mereka panel televisyen berbentuk pendingin api pada bahagian ruang tamu.

“Kebiasaannya di rumah-rumah orang Eropah mempunyai pendingin api bagi memanaskan badan ketika musim sejuk tetapi di negara ini kita tidak memerlukannya, maka saya mengambil reka bentuk tersebut untuk dijadikan panel televisyen.

“Saya turut menggunakan sofa jenis chesterfield, coffered plaster siling dengan cornis lebih tebal dan pencahayaan chandelier,” tutur ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Menariknya, di ruang makan pula, Norbaya menggunakan kemasan diamond mirror untuk menambah seri kemewahan konsep Eropah moden itu.

CONTOH pintu hiasan pemisah yang mengasingkan dua ruang.

Di bahagian tersebut juga dia meletakkan decorative partition doors sebagai pemisah di antara bahagian dapur.

Mereka juga menggunakan meja marmar, kerusi berkonsep chesterfield dan chandelier di ruang makan.

Di bahagian dapur pula, mereka menggunakan kabinet kayu solid dan pemegangnya berona emas.

“Sink pula menggunakan material marmar dan rona emas,” ujarnya yang sudah empat tahun menjalankan perusahaan rekaan hiasan dalaman itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI