fbpx

Banduan baharu punca penularan kes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Banduan baharu dikenalpasti menjadi punca penularan wabak Covid-19 di dua buah penjara di Pahang.

KUANTAN – Meskipun semua prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan namun banduan baharu dikenalpasti menjadi punca penularan wabak Covid-19 di dua buah penjara di negeri ini.

Pengarah Penjara Negeri Pahang, Datuk Ab. Basir Mohamad berkata, sejak penularan Covid-19 sebanyak 200 kakitangan penjara dijangkiti Covid-19 termasuk 57 kakitangan yang masih lagi dikuarantin.

“Kita kini lebih mengetatkan lagi SOP membabitkan semua banduan yang akan ditempatkan di penjara, peringkat pertama banduan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari selepas itu mereka sekali lagi dikuarantin selama 10 hari sebelum disah bebas Covid-19.

“Semua banduan yang dihantar ke penjara oleh semua pihak berkuasa juga terlebih dahulu perlu menjalani ujian calitan disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia,”katanya di sini hari ini.

Menurut Ab. Basir, pada masa ini seramai 57 kakitangan penjara sedang dikuarantin yang terdiri daripada 10 kakitangan di Penjara Bentong dan 47 daripada Penjara Penor.

Katanya, selain itu juga seramai 77 ahli keluarga kakitangan penjara iaitu 37 orang di Penjara Bentong dan 40 orang di Penjara Penor turut dikuarantin kerana positif wabak berkenaan.

“Kakitangan dan ahli keluarga yang positif menjalani proses kuarantin di rumah dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Bentong dan daerah ini,”katanya.

Dalam pada itu, Ab, Basir berkata, bagi memastikan penularan wabak Covid-19 di penjara tidak terus berlaku Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan kerajaan di dua penjara di negeri ini.

Katanya, Penjara Bentong telah empat kali menjalani PKPD sejak pertengahan Julai lalu hingga 17 September ini manakala Penjara Penor dilaksanakan PKPD buat kali pertama bermula hari ini.

Sementara itu beliau berkata, kakitangan penjara kini berhadapan dengan cabaran baharu apabila bukan sahaja mengikut SOP yang ketat malahan terpaksa mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE) ketika bertugas.

“Walaupun 90 peratus kakitangan penjara telah menerima suntikan vaksin Covid-19 namun usaha pencegahan tetap dilakukan secara bersungguh-sungguh mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan.

“Saya sentiasa memantau perkembangan wabak Covid-19 dan memandang serius usaha pencegahan dan pengawalan dalam memastikan penjara di negeri ini bebas daripada Covid-19 dan dari semasa ke semasa aktiviti sanitasi turut dilakukan dalam penjara,”ujarnya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI