PETALING JAYA – Sikap terburu-buru dalam membuat keputusan semasa menuruni bukit atau gunung selain tidak memperlengkap diri dengan alatan mendaki merupakan antara kesilapan paling besar terutama buat pendaki baharu.
Presiden Persatuan Malim Gunung Malaysia (PMGM), Muzafar Mohamad berkata, ia kerana keputusan tersebut boleh mengundang risiko kehilangan dan kecederaan bagi mana-mana individu ketika aktiviti pendakian.
“Selain itu, pendaki baharu lazimnya tidak membawa alatan yang lengkap termasuk botol air, lampu suluh dan pisau,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Bagi mengurangkan risiko, Muzafar berkata, pendekatan buddy system atau berpasangan adalah suatu amalan yang sentiasa dititikberatkan dalam semua cabang aktiviti rekreasi.
“Seharusnya masyarakat sedar apabila kita berekreasi, kita telah menyerahkan diri kita atas belas ihsan alam sepenuhnya.
“Jika sesuatu terjadi, rakan atau teman melalui sistem berpasangan merupakan antara sumber utama yang dapat menyampaikan maklumat penting bagi mendapatkan bantuan,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, antara kelengkapan penting yang wajib dibawa ketika menjalani aktiviti rekreasi adalah ‘BAPAT’ iaitu bekas, api, pisau dan atap atau plastik sampah besar serta tali untuk mengikat.
Beliau berkata, ketika ini, individu juga boleh mengunakan teknologi ‘meshstatic’ sebagai pengesan atau aplikasi percuma seperti Strava dan Google Tracker sebagai panduan untuk mengurangkan risiko tersesat serta hilang.
“Namun, sekiranya individu itu sesat, dia wajar mengamalkan empat langkah iaitu berhenti, bertenang, berfikir dan bertindak.
“Jika ada capaian telekomunikasi (telco), kongsikan lokasi secepat mungkin pada keluarga dan kenalan terdekat,” katanya. – KOSMO! ONLINE















